Categories
AGENDA NASIONAL

Himpunan, majlis sosial pilihan raya dilarang esok hingga 27 November

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa esok hingga 27 November ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan berkata ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM), antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster Covid-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Katanya, KKM menjangka aktiviti ini akan banyak diadakan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

“Memandangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 masih tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes baharu yang dilaporkan, aktiviti itu akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya

Isnin lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

Jelas Khairy larangan ini selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) SOP Fasa Empat yang terkini.

Tegasnya sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster,” katanya.

Ia juga menurutnya berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342, menjadikan aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Subperaturan 10(1) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh, semasa dalam mana-mana fasa ditetapkan, berhimpun atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK DUN Melor ditangguhkan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan yang sepatutnya diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu Dr Md Yusnan Yusof ditangguhkan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

“Memandangkan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Jan 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa maka Pilihan Raya Kecil bagi DUN N.23 Melor, Kelantan ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN itu, semalam.

Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan yang kekosongan sesuatu kerusi DUN Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

Semalam, Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Melor susulan kematian Md Yusnan pada 30 April lepas.

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.

Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak pilihan raya untuk cegah Covid-19 – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 18 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendapat adalah penting untuk mengelakkan sebarang pilihan raya diadakan buat masa ini bagi mencegah penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sememangnya daripada awal lagi amat bimbang sekiranya pilihan raya diadakan sama ada ia melibatkan pilihan raya kecil, negeri mahupun umum.

Beliau berkata kebimbangan itu terbukti apabila peningkatan kes positif yang dilaporkan di Sabah susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri tersebut.

“Selepas PRN Sabah kita boleh lihat peningkatan kes dan ia menyukarkan usaha kita membendung penularan Covid-19.

“Kalau boleh, amat penting kita mencegah satu lagi pilihan raya,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian bagi mengulas pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember.

Sementara itu, ditanya sama ada pertambahan kes di beberapa kluster seperti kluster Hentian di Lembah Klang, Kluster Tembok, Kedah dan Kluster Penjara Sandakan, Sabah adalah kes sampel tertunggak, Dr Noor Hisham berkata ia adalah hasil saringan berkala yang dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang dipertingkatkan bagi mencegah penularan Covid-19.

Beliau berkata di Penjara Sandakan contohnya, kes positif baharu dikesan semasa saringan kali kedua selepas proses kuarantin atau saringan sebelum seseorang banduan dipindahkan atau dibebaskan.

“Sekarang kita mengenal pasti penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing juga, jadi kita tingkatkan saringan di tapak-tapak pembinaan, kilang dan sebagainya. Jadi kita mohon majikan supaya memberi kerjasama untuk menjalankan saringan,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata peningkatan mendadak kes positif Covid-19 pada tarikh-tarikh tertentu adalah hasil saringan yang dijalankan apabila sesuatu kluster baharu dikenal pasti seperti kluster Damanlela di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

“Apa yang pasti, kalau kita dapat kenal pasti kluster dan jalankan aktiviti pengesanan, InsyaAllah akan dapat dikawal.

“Apabila kita jalankan saringan, kes akan meningkat sebagaimana kita lihat di penjara. Jadi kes seakan-akan melonjak tetapi tidak berkekalan, meningkat kerana saringan yang dijalankan,” kata Dr Noor Hisham.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji akta proses pilihan raya ketika pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan akan mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu yang melibatkan proses pilihan raya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata tidak dinafikan, pilihan raya seperti di negeri Sabah pada September lepas yang membabitkan perhimpunan beramai-ramai mengakibatkan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

“(Pilihan raya) ini adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya tidak boleh memberi maklumat lanjut sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum boleh atau tidak dilakukan, tetapi kerajaan sentiasa memantau.

“Jika perlu wujudkan akta-akta tertentu, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan membuat cadangan kepada rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada kerajaan akan mewujudkan akta tertentu seperti memendekkan tempoh kempen atau kaedah kempen baharu untuk mengekang wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata mekanisme pengurusan krisis negara yang dilaksanakan ketika ini berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes yang terlalu tinggi.

Katanya, mekanisme itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang menekankan amalan protokol kesihatan dan kebiasaan baharu.

Beliau menjawab soalan asal Fong Kui Lum (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam membendung penularan wabak itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, pengaruh sentimen tempatan

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kegiatan pembelian berterusan dalam kalangan pelabur berikutan desas-desus mengenai pilihan raya awal yang semakin nyata menyebabkan Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 7.31 mata pada 1,487.89 selepas dibuka 0.89 mata lebih rendah pada 1,493.31.

Kaunter rugi mengatasi untung dengan 320 berbalas 102 manakala 273 kaunter tidak berubah, 1454 tidak diniagakan dan 80 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 388.31 juta bernilai RM150.01 juta.

Kaunter tenaga mencatatkan kerugian terbesar dengan merosot 1.34 peratus kepada 655.74 mata selepas minyak mentah Brent jatuh di bawah paras US$40 setong.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum Maulidur Rasul.

Seorang penganalisis berkata saranan yang dibuat semalam meningkatkan kebimbangan para pelabur bahawa pilihan raya umum ke-15 diadakan awal tahun hadapan selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal.

“Sebenarnya ada dua sisi dalam perkara ini. Yang baiknya ialah ketidakpastian politik akan berakhir dan satu sisi lagi ialah ia akan menghentikan keyakinan pelabur dalam tempoh yang lama, dan ini boleh memperlahankan pemulihan ekonomi,” kata beliau.

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU) setelah pandemik koronavirus (Covid-19) dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

Sementara itu dari sudut teknikal, beliau menambah dengan keadaan seperti ini berterusan di pasaran, penanda aras KLCI akan terus menyusut dan menguji paras 1,450 dengan halangan segera pada 1,500.

“Kedudukan jualan berlebihan akan berterusan sehingga munculnya pemangkin baharu yang boleh mengubah keadaan,” kata beliau.

Untuk pergerakan global pula, pilihan raya presiden AS pada 3 November turut memberi impak kepada hala tuju pasaran.

Untuk prestasi kaunter berwajaran tinggi, Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM5.85, Axiata dan Top Glove masing-masing susut lapan sen kepada RM2.96 dan RM8.70 sementara Public Bank turun 12 sen kepada RM15.56.

Petronas Chemicals dan Public Bank turut mendahului kaunter rugi pagi ini.

Bagi kaunter paling cergas, ia didominasi oleh kaunter teknologi dengan Vivocom meningkat setengah sen kepada 50 sen, Dataprep menambah 1.5 sen kepada 21 sen sementara saham untung, British American Tobacco naik 21 sen kepada RM10.16 didorong oleh prestasi pendapatan suku tahunan yang lebih baik.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 53.60 mata kepada 10,767.03, Indeks FBMT 100 menyusut 53.06 mata kepada 10,578.79 dan Indeks FBM Emas Shariah lebih rendah sebanyak 68.52 mata kepada 12,909.83.

Sementara itu, FBM 70 berkurangan 75.56 mata kepada 14,168.58 dan FBM ACE lemah 49.61 mata kepada 9,770.93.

Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 42.32 mata kepada 12,218.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.05 mata kepada 142.79 dan Indeks Perladangan melonjak 2.33 mata kepada 6,924.89.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM saran jangan adakan pilihan raya ketika ini

PUTRAJAYA, 27 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menyarankan agar tidak mengadakan sebarang pilihan raya buat masa ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya pilihan raya itu tidak dapat dielakkan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mereka akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti kaedah berbeza untuk melaksanakan pilihan raya.

“(Pertama) tidak boleh rentas sempadan, tiada rentas daerah dan tidak boleh balik kampung untuk pilihan raya. Kedua, tidak dibenarkan perhimpunan dan ketiga, tiada lawatan rumah ke rumah. Jadi ini adalah tiga isu utama yang kami perlu bincangkan dengan SPR sama ada kita boleh laksanakan undi pos dan sebagainya. Kami akan terus berbincang dengan SPR untuk memperbaiki keadaan.

“Kami hanya boleh memberi cadangan. Jika ia tidak dapat dielakkan, pilihan raya perlu dilakukan, di bawah Perlembagaan, maka kita perlu meneliti SOP (tatacara operasi piawai) bagaimana kita boleh menjalankan pilihan raya dan meminimumkan jangkitan.

“Walaupun SOP itu ada, tetapi apa yang lebih penting adalah pematuhan SOP. Saya rasa kita telah melihat dan mempelajari dari Sabah (pilihan raya). Kita harap kita tidak perlu ulangi konsekuens daripada pilihan raya ini di negeri lain,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan harian Covid-19 di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan berbincang dengan SPR mengenai SOP yang lebih ketat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang bakal diadakan 5 Disember ini, bagi menjamin kesihatan penduduk yang akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil itu.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pilihan raya kerana ia terletak di bawah bidang kuasa SPR.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga turut menasihatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang merancang untuk membantu mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19, berbuat demikian di bawah kelolaan KKM.

Beliau berkata ini akan memastikan semua peserta akan diberi latihan asas seperti kawalan jangkitan serta penyelarasan dari segi lokasi yang hendak dituju dan apa yang perlu dilakukan, justeru kedua-dua pihak saling melengkapi.

“Ada dua jenis NGO. Satu yang pergi sendiri tanpa memaklumkan kepada KKM, tetapi apa yang merisaukan kami, mereka akan dijangkiti terutama NGO yang tidak mempunyai pengalaman dari segi kawalan jangkitan. Niat itu bagus tetapi kita juga perlu melindungi NGO.

“Lihatlah barisan hadapan kita, mereka juga turut dijangkiti apatah lagi NGO yang turun di lapangan. Kita juga sudah mempunyai beberapa NGO yang telah mewujudkan kluster, yang balik dari Sabah, sudah ada kluster baharu. Di Selangor contohnya, segelintir petugas kami juga dijangkiti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ERC kemuka 49 syor reformasi pilihan raya

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengemukakan 49 syor reformasi pilihan raya dalam laporannya yang diserahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pengerusi ERC Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata Muhyiddin ketika menerima laporan ERC itu di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen memberi jaminan untuk meneliti dan mengkaji kesemua syor yang dikemukakan.

“ERC tidak menetapkan sebarang tempoh untuk kerajaan melaksana syor-syor yang dikemukakan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Namun daripada kesemua syor berkenaan, katanya 32 syor dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun jika diluluskan kerajaan manakala selebihnya mengambil masa antara lima dan 10 tahun.

Beliau berkata antara syor yang dikemukakan adalah pengasingan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada SPR, dengan ia diasingkan kepada tiga badan.

Ab Rashid berkata SPR akan kekal sebagai badan utama menguatkuasakan undang-undang pilihan raya; sekretariat pilihan raya akan menjalankan proses pilihan raya; manakala Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) pula akan melaksana urusan khas persempadanan pilihan raya.

Syor lain dalam laporan ERC itu adalah penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri enam bulan sebelum tarikh sebenar; penetapan dasar seorang calon hanya boleh bertanding bagi satu kerusi dan memastikan keseimbangan pemilih dengan memperkenalkan kategori dan kriteria bagi bahagian pilihan raya.

ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 untuk mengkaji setiap aspek berkaitan dengan sistem, proses serta undang-undang pilihan raya sedia ada agar dapat ditingkatkan setaraf dengan amalan demokrasi maju di peringkat antarabangsa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perbaiki proses undi pos antara tumpuan SPR – Azmi

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Usaha menambah baik proses pengundian pos adalah antara tumpuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini bagi mengukuhkan sistem penjalanan pilihan raya negara.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata sebuah jawatankuasa khusus diketuai Ahli SPR Datuk Chin Phaik Yoong sedang mengkaji perkara berkenaan terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu undi pos termasuk hal kertas undi tidak sampai kepada pengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sistem undi pos menghadapi banyak masalah dengan berlaku peratusan yang sangat tinggi (kertas undi pos) tidak sampai. Ini tidak patut berlaku,” katanya dalam wawancara bersama Bernama di sini.

Azmi berkata SPR mengambil maklum hal berkaitan kertas undi pos yang dibangkitkan beberapa pihak termasuk desakan terbaharu yang mahukan suruhanjaya itu mempertimbangkan cadangan membenarkan pengundi Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, bulan depan.

Menyentuh hal itu, beliau berkata kemudahan undi pos tidak dapat diberikan kepada pengundi luar kawasan seperti yang berada di Semenanjung Malaysia berikutan sistem sedia ada tidak mampu menampung jumlah yang besar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 pada 17 Ogos 2020. Foto BERNAMA

Katanya, faktor pertambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 73 kerusi juga menyebabkan kemudahan itu sukar dilaksanakan, selain SPR tidak sempat menambah baik sistem undi pos memandangkan ia adalah pilihan raya mengejut.

Azmi berkata SPR memahami kekecewaan pengundi Sabah berhubung perkara berkenaan dan sebagai sebuah agensi yang matang, SPR mendengar setiap kritikan yang dilemparkan dan akan berusaha gigih memperbaiki proses undi pos negara ini.

“Jika kita tak dapat sediakan satu sistem yang sempurna dan selamat, ia lebih berbahaya jika kita melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa. Ia mungkin menimbulkan lebih masalah daripada apa yang kita hendak selesaikan.

“Kita ingin menyelesaikan suatu masalah tetapi kita mungkin menyebabkan timbul masalah lain. Jadi, adalah lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian. Saya faham, tetapi inilah penjelasan saya, kalau rakyat Sabah masih marah, saya minta maaf,” jelasnya.

SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September, dengan hari pencalonan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September, membabitkan 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Mengenai sistem pilihan raya negara secara keseluruhannya, Azmi yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya, berkata terdapat banyak penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan rakyat, antaranya sistem ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) dan sistem pemerhati.

Menurut Azmi, kehadiran PACA bagi memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap saluran tidak memungkinkan berlaku penipuan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

“Dahulu ada yang menyatakan muncul kotak baharu dan sebagainya, tetapi kini saya rasa hampir mustahil perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 (penyata pengundian selepas pengiraan undi) yang ditandatangani oleh saksi iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.

“Jika ada sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian itu adalah lebih telus. Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan, susah untuk mengundang perkara yang tidak elok berlaku,” katanya yang terlibat dalam pengendalian enam pilihan raya kecil, sejak dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada Februari 2019.

Mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan bertanding sebagai calon serta pendaftaran pengundi secara automatik, Azmi berkata SPR sedang bertungkus-lumus menyediakan sistem yang baik dan selamat bagi melaksanakan pindaan berkenaan.

Katanya sistem pendaftaran secara automatik dijangka tersedia pada pertengahan tahun depan berikutan SPR perlu menyelesaikan pelbagai isu termasuk kesukaran menentukan daerah tempat mengundi kerana alamat yang tidak lengkap, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.

“Kalau orang itu dalam penjara dia tak boleh mengundi, begitu juga yang dalam hospital mental, kita tak boleh daftarkan. Ini bukan perkara mudah dengan sekadar mengambil (data) dari JPN. Sistem harus dijamin selamat sehingga data yang dipindahkan terpelihara,” jelasnya.

Azmi berkata dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, SPR menjangkakan bilangan pemilih berdaftar yang ketika ini berjumlah kira-kira 15 juta akan meningkat kepada lebih 19 juta orang, termasuk kira-kira empat juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi apabila sistem berkenaan siap kelak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: New Zealand tangguh pilihan raya umum sehingga Oktober

MOSCOW, 17 OGOS: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya umum sehingga 17 Oktober, disebabkan wabak Covid-19, lapor agensi berita Sputnik.

Ardern juga mempertimbangkan beberapa pilihan lain, termasuk mengadakan pemilihan pada 19 September, seperti yang dijadualkan, menangguhkannya selama empat minggu atau mengadakannya pada 21 November.

“Saya memutuskan untuk menukar tarikh pilihan raya selewat-lewatnya empat minggu sehingga 17 Oktober. Pada akhir minggu lalu, saya diberitahu ia mungkin boleh diadakan pada tarikh ini dan kurang berisiko berbanding jika kita mengekalkan status quo,” kata Ardern semasa taklimat media yang disiarkan di Facebook.

Minggu lalu, New Zealand merekodkan empat kes baharu untuk pertama kalinya dalam masa 102 hari, mendorong pihak berkuasa mengenakan peraturan kuarantin di Auckland.

Sehingga kini New Zealand mengesahkan 1,271 kes, dengan jumlah korban seramai 22 orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar pengundi 18 tahun belum dilaksana – SPR

PUTRAJAYA, 7 JUN: Pendaftaran untuk pengundi 18 tahun masih belum dilaksanakan lagi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun berkata ini sekali gus menafikan maklumat yang tular di media sosial yang mengajak rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Pendaftaran pengundi 18 tahun akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah segala persiapan SPR diselesaikan termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur.

“Kesemua persiapan ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azhar berkata SPR dari semasa ke semasa akan mengeluarkan kenyataan media rasmi untuk sebarang perkembangan terkini dan menyeru kepada orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu kepada SPR melalui laman rasmi www.spr.gov.my atau Facebook rasmi SPR atau menghubungi talian 03-8892 7200 bagi mengelakkan penularan berita palsu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kedutaan Kazakhstan dibuka pada 9 Jun untuk pengundian bagi pilihan raya presiden

Categories
GLOBAL

India beri amaran mungkin berlaku keganasan pasca pilihan raya

NEW DELHI, 23 Mei: India telah mengeluarkan amaran di seluruh negara pada Rabu yang menyebut mengenai kemungkinan berlaku keganasan apabila undi dikira dalam pilihan raya baru-baru ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India.

Kementerian itu telah meminta Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Polis dan negeri serta Wilayah Kesatuan (UT) untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman, keamanan dan ketenangan awam.

“Negeri/UT telah diminta untuk mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya untuk menjaga keselamatan bilik kebal dan venue pengiraan undi. Ini susulan gesaan dan kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak untuk menghasut keganasan serta menyebabkan gangguan pada hari pengiraan undi,” menurut kenyataan itu.

Nasihat luar biasa itu dibuat bagi menentang kempen parti pembangkang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya yang didakwa mentafsirkan udang-undang dan peraturan yang memihak kepada pakatan pemerintah, menurut laporan media.

Suruhanjaya Pilihan Raya India akan mula mengira undi bagi Lok Sabha ke-17, iaitu dewan rakyat di parlimen, pada pukul 8 pagi Khamis (0300 GMT).

Lebih 8,000 calon bertanding bagi merebut sejumlah 542 kerusi parlimen.

Perikatan Demokratik Nasional (NDA) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi dijangka memenangi majoriti selesa, menurut pemberian suara eksit.

Dengan jumlah pengundi terbesar di dunia sebanyak hampir 900 juta, pilihan raya India diadakan dalam tujuh fasa yang meliputi tempoh lebih 38 hari. -BERNAMA