Categories
SELANGOR SENI

Ruang di akhbar SelangorKini amat dihargai

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 DIS: Inisiatif Kerajaan Negeri memperuntuk ruangan khas di SelangorKini kepada pengkarya muda menyerlah bakat penulisan adalah amat dihargai.

Bagi pemenang utama Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2017 bagi kategori cerpen, Azrin Fauzi, 25, ia memberi peluang kepada penulis sepertinya mengetengahkan karya di peringkat lebih luas.

“Untuk kita masuk ke media arus perdana dengan skop penulisan yang dibawa mungkin agak sukar tetapi SelangorKini sediakan ruang itu.

“Jika ruangan ditambah, saya percaya lebih ramai lagi anak muda Selangor dapat menonjolkan karya masing-masing untuk dikongsi bersama lebih 100,000 pembaca akhbar berkenaan,” kata anak jati Kuala Lumpur itu kepada Selangor Kini.

Beliau merupakan satu daripada 14 pengkarya muda yang dirai menerusi Majlis Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2017, pada 8 Disember lalu.

Turut bersetuju, pemenang sagu hati kategori esei, Amir Hafyan, 24, percubaan dan kemenangan pertama diraih itu memberi semangat untuknya lebih aktif menulis.

“Saya tidak sangka kerana ini pertama kali namun pada masa sama gembira dengan keputusan juri yang bukan calang-calang.

“Saya akan terus menulis dan fokus untuk mengangkat suara rakyat biasa untuk perhatian mereka yang mahu membaca dan berfikir,” kata pelajar jurusan perundangan di institusi pengajian tinggi di Nilai itu.

Sementara itu, pemenang sagu hati kategori sajak, Nour Amir, 25, berkata, ruang diberikan Kerajaan Negeri itu pasti akan digunakan sebaiknya bagi memperbaiki mutu karyanya.

“Saya tidak menjangkakan sebarang kemenangan kerana kemenangan bukan sesuatu yang dicari.

“Menerima komen juri, sama ada pujian dan teguran memberi semangat kepada saya untuk memberikan lebih makna dalam karya selepas ini,” katanya yang turut aktif menghasilkan skrip teater.

=EZY=