Categories
PBT SELANGOR

Santai Pancing Pantai Kelanang tawar hadiah lebih RM20,000

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LANGAT, 23 DIS: Kaki pancing berpeluang merebut hadiah lebih RM20,000 dalam pertandingan Santai Pancing Pantai Kelanang yang akan diadakan, pada 25 Disember ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua tanpa mengira peringkat umur.

“Pertandingan ini bagi mempromosikan Pantai Kelanang sebagai salah satu destinasi pelancongan domestik, menyediakan aktiviti riadah di luar bandar atau kampung, khususnya kepada penduduk daerah Kuala Langat.

“Di samping itu, ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan hasil jualan peniaga di Pantai Kelanang.

“Diharapkan dengan penganjuran program ini, Pantai Kelanang menjadi pilihan pengunjung dan daya tarikan bagi mencari makanan laut seperti pepahat serta kepah di hujung minggu,” katanya.

Pertandingan anjuran MDKL bersama Kerajaan Negeri itu dikendalikan Wak Jali Event Management yang akan membuka kaunter pendaftaran 24 jam sehari sebelum pertandingan bermula, di Pantai Kelanang.

Hanya kategori ikan terberat sahaja dipertandingkan dengan yuran penyertaan RM30 bagi satu joran.

Setiap pemenang dari tempat pertama hingga ke-50 akan menerima hadiah wang tunai.

Bagi tempat pertama, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM7,000, tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000.

Manakala bagi tempat keempat dan kelima, masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM700 dan RM500.

Peserta juga bakal membawa pulang TV LED 32 inci dan hamper melalui cabutan bertuah.