Categories
SASTERA

Deposit dan waktu yang tepat

OLEH Khalil Zaini

DENGAN keluasan kampung yang tidak kelihatan pun di atas peta daerah, paling tidak, mesti sangkut seorang mangsa, fikirnya. Kampung ini pernah dekat dengan dirinya sebelum disempadankan dengan keputusan nekad untuk menjadi nomad.

Dia pernah terbaca tulisan di Facebook yang menyatakan amalan menipu satu penyakit. Jika pesakit itu tidak menipu untuk jangka waktu tertentu, ia boleh jadi paranoid. Tulisan separa ilmiah itu diiyakan sahaja oleh kebimbangannya dicuit paranoid. Langsung dia berpendapat bahawa dia penghidap Mythomania, dalam sedar terus menipu selagi tidak dihidu.

Cita-citanya adalah menjadi kaya sambil jahat yang tidak dilihat, seperti pemain skim multilevel marketing yang mengeksploitasi kegelojohan orang ramai. Selain pintar memuntahkan lendir-lendir ekonomi yang dipelajari daripada Facebook, ada dua hal yang amat membantunya. Deposit dan waktu yang tepat.

Ketika dia membuka tirai jual beli dengan perkataan deposit, mangsanya sudah tergantung songsang di dalam jeratnya.

Lima tahun ke belakang, dia memulakan penipuan secara runcit. Ketika itu telefon pintar mula jadi candu para belia. Mark Zuckerberg terus-terusan membantunya. Seminggu menelaah perniagaan atas talian di Facebook, dia mencipta beberapa akaun palsu dan memberanikan diri membuka pratempahan telefon bimbit. Untuk mengelakkan diri disyaki, dia meletakkan harga telefon yang sama dengan harga pasaran. Sebagai pemain deposit, tawaran deposit yang lebih murah berbanding peniaga lain sentiasa bergantung di mata kailnya.

Dia seorang penipu yang menampilkan muka, agak berani dan sentiasa memiliki waktu yang sesuai untuk lari apabila dihidu. Intenet hanya medium iklan, bukan transaksi wang ringgit. Ketika bersemuka, tangannya tidak terketar-ketar menyambut wang daripada mangsa. Malah, wajah dan penampilan kemasnya berjaya memaku ego mangsa yang terdetik untuk membatalkan urus niaga saat pertemuan empat mata.

Modus operandi itu disalin dan dimurnikan dalam penipuan pelaburan emas tidak lama selepas itu. Skim pelaburan emas mengukuhkan posisinya hinggakan dia meyakini dia dilahirkan untuk terlepas daripada penangkapan.

Setelah berasakan diri dihidu pakar emas, dia terfikir untuk menjadi orang tengah bagi jual beli kapal selam. Namun, idea itu terpaksa dicicirkan kerana idea untuk memanipulasi hartanah cepat memintas, seperti petir yang memekik dahulu sebelum guruh. Idea itulah yang membawanya ke kampung ini. Idea itu jugalah yang membuatkan aku, selaku tukang cerita akan menyelit sebentar lagi.

Dia pulang ke kampung yang telah dilupakan. Tetapi masyarakat tempatan tidak pernah melupakannya.  Apabila menjadi anak seorang janda, selain janda itu sendiri, anak juga akan dikenang.

Pagi lagi sebelum sempat matahari menggeliat, dia singgah ke sebuah warung dekat simpang kampung. Deruman enjin kereta mewahnya melopongkan orang kampung yang tidak turun menoreh getah kerana diperdaya hujan yang tidak jadi.

Selepas memperkenalkan diri yang sebenarnya tidak perlu, dia mereka-reka cerita pergulatan hidupnya di Kuala Lumpur. Cerita-cerita tawaran tanah di kampung yang kononnya akan dibeli dengan harga yang berganda-ganda oleh tauke-tauke kilang di ibu kota menjadi lebih rancak apabila tiada seorang pun yang mencelah ucapannya. Sehinggakan ada yang terlopong, terlupa kopi pekat di atas meja sudah kesejukan dihembus mulut langit.

Namun apabila disebut tentang deposit, masing-masing berpura-pura menguis sisa makanan ke bawah dan ada yang mendedahkan jumlah wang simpanan tabung haji dan tahun layak naik haji tanpa ditanya.

“Kau pergi tanya Tok Pa Jantan kalau-kalau mahu dijual tanahnya. Dulu katanya nak bagi anak. Tapi anaknya tu pun dah mati.” Sogokan Leman memancutkan harapan.

Aku memulakan langkah yang telah dirancang saat menulis draf kisah ini. Ketika dia riak menyuruh pemilik warung itu mengira harga makanan pengunjung lain, aku mengecut – dan melompat dari satu kunci huruf ke kunci yang lain pada papan kekunci. Lalu aku menyelit di celah-celah kekunci dan berlari seperti dalam babak cemas filem The Maze Runner. Tanpa sayap, aku terbang sebagai gelombang lalu menembusi monitor komputer.

Di dalam papan elektronik yang menggerutu itu aku temui kampung yang sedang aku fikirkan. Dan, ya, lelaki itu juga sedang bangun dari kerusinya! Terbanglah aku menuju ke rumah Tok Pa Jantan untuk mendedahkan siapa yang bakal datang ke rumahnya nanti.

Di rumah Tok Pa Jantan, aku membogelkan setiap kedurjanaan lelaki itu. Kita mesti menghentikannya kerana dia fikir dirinya kebal dan sentiasa memiliki waktu yang tepat untuk melarikan diri, kataku – sambil menayangkan hologram, terpapar siri salah laku lelaki itu.

Sedang ligat mulut Tok Pa Jantan memaki hamun lelaki itu dan menyamakannya dengan Firaun tanpa justifikasi jelas, tiba-tiba aku mendengar detak jantung seseorang. Lantas aku meminta izin Tok Pa Jantan untuk terbang keluar melalui jendela yang sedia ternganga. Seperti pari-pari dalam kisah fantasi, aku tidak lupa menoleh saat terapung di muka jendela, kemudian mengingatkan Tok Pa Jantan tentang perancangan kami malam itu.

Dia melangkah bendul rumah Tok Pa Jantan dengan senyuman. Selepas berbasa-basi tentang rasa terpinggirnya sejak kematian ibunya, akhirnya dia menceritakan hajat sebenar keberadaannya.

Tok Pa Jantan tidak ghairah respons. Sengaja disumbat kuih kacang tumbuk berkali-kali sehingga membusung mulutnya. Adalah juga alasannya untuk tidak menjawab soalan-soalan ejen palsu itu.

Sebaik-baik melihat Tok Pa Jantan ralit mengutip sisa kacang tumbuk yang terselit di tikar mengkuang, segera dia mereka-reka beberapa nama pegawai pejabat tanah dan tauke Cina dalam proses jual beli bayangannya. Dengan penuh yakin, dia memberikan jaminan selama sebulan untuk membereskan serba-serbi termasuk hal guaman. Tok Pa Jantan angguk, lalu bangkit dan menyerahkan wang depositnya seperti yang telah kami rancangkan.

“Lepas sebulan aku tak dapat duit aku, aku bunuh kau. Mayat kau nanti aku ikat betul-betul atas menara jagung tu.”

Dia hanya tersengih mendengar ugutan Tok Pa Jantan sambil memeluk sampul coklat berisi wang deposit. Hatinya terdetik, ada sesuatu yang tidak kena dan dia perlu menghilangkan diri dari kampung ini seperti yang telah dilakukan selepas kematian ibunya.

Dalam perjalanan pulang, beberapa meter sebelum melintasi palang tol, tiba-tiba dia  ternampak Tok Pa Jantan dan beberapa orang kampung termasuk aku berbaris melintang. Dadanya bagai dihentak setelah melihatkan air muka, enjutan tangan dan bukaan mulut orang kampung. Ketika dia menurunkan cermin tingkap, sederap cacian berkawad masuk mengisi ruang kereta, menyerkup cecehan penghebah radio.

Dia gelebah menukar gear reverse sambil menoleh ke cermin belakang. Gelombang lagu “Exodus” menggeletek jaring pembesar suara kereta. Suara Bob Marley yang membuai, bersatu dengan siren kereta polis dari segenap arah. Saat dia berpaling ke depan, Tok Pa Jantan meleretkan senyuman ke jambangnya, sambil menjulang tanganku yang sedang menggenggam waktu yang tepat.