Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Sasar raih RM250 juta pada Selangor International Business Summit 2018

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Sebanyak RM250 juta aliran kewangan disasarkan, hasil penganjuran Selangor International Bussiness Summit 2018, tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, nilai itu diharap dapat meningkat berbanding penganjuran persidangan itu sebelum ini yang berjaya meraih sebanyak RM200 juta.

“Diharapkan kita dapat memperoleh sekurang-kurangnya RM250 juta nilai transaksi daripada peserta pameran dengan sasaran kira-kira 600 peserta mengambil bahagian pada kali ini.

“Kita juga yakin dapat menarik lebih ramai pengunjung terutamanya ahli perniagaan di lokasi baharu program ini iaitu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pra Pelancaran Selangor International Business Summit 2018 di Hotel Shangri-La, di sini, hari ini.

Katanya, Invest Selangor Berhad berbangga menjadi penganjur bagi program tersebut, iaitu sebahagian daripada usaha dalam meletakkan Selangor sebagai hab perdagangan global dan gerbang penting kepada ASEAN untuk perniagaan domestik dan antarabangsa.

“Melalui edisi kedua penganjuran ini, ia akan membuka potensi dan peluang kerjasama dalam perniagaan, bukan sahaja di Selangor atau Malaysia malah kepada seluruh komuniti ASEAN,” katanya.

Persidangan sepuluh hari bermula 6 hingga 16 September 2018 akan diadakan di MiTEC, Kuala Lumpur yang turut memberi tumpuan kepada agenda keusahawanan, pembangunan teknologi pintar serta seminar membabitkan panel dari dalam dan luar negara.

=EZY=