Categories
AGAMA SELANGOR

LZS salur RM2.5 juta Tabung Kebajikan Pesakit 17 hospital

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Sejumlah RM2.5 juta disalurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 17 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Sumbangan bagi fasa kedua itu disampaikan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail di Hospital Shah Alam.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid berkata, LZS terus komited memberi sumbangan kewangan kepada hospital di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi kegunaan pesakit tidak berkemampuan melalui Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

“Menerusi tahun ini, LZS bermurah hati menyampaikan sebanyak dua kali sumbangan iaitu pada Ramadan tahun lalu sebanyak RM1.7 juta.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan ini sebanyak RM4.2 juta,” katanya di Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Tabung Kebajikan Pesakit di Hospital Shah Alam, di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyeru kepada mana-mana pesakit yang ingin mendapatkan bantuan supaya mendaftar di Jabatan Sosial Kebajikan pihak hospital.

“Mereka cuma perlu membawa surat doktor dan diserahkan kepada jabatan terbabit.

“LZS sentiasa memastikan pengagihan zakat dapat dijalankan telus dan bersistematik dengan mengenal pasti mereka yang layak, menilai jumlah bantuan dan melaksanakan pembaikan dari masa ke semasa,” katanya.

Untuk rekod, Hospital Kuala Lumpur menerima sumbangan tertinggi sebanyak RM400,000 diikuti Institut Jantung Negara sebanyak RM300,000.

Sementara itu, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya masing-masing menerima sebanyak RM250,000.

Manakala, Tengku Ampuan Rahimah menerima sebanyak RM200,000 diikuti Hospital Selayang, Sungai Buloh, Ampang dan Serdang masing-masing menerima RM150,000.

Hospital Kajang, Putrajaya, Rehabilitasi, Cheras menerima sumbangan zakat sebanyak RM100,000 manakala Pusat Perubatan UITM Sungai Buloh menerima RM70,000, Shah Alam sebanyak RM50,000, Institut Kanser Negara sebanyak RM 40,000.

Hospital Kuala Kubu Bahru dan Banting masing-masing RM20,000.

=EZY=