Categories
SELANGOR

Struktur semula jawatankuasa pemilihan selesai isu Kg Sungai Yu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 8 DIS: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) meminta Kerajaan Negeri menstruktur semula keahlian Jawatankuasa Pemilihan Tanah Senarai Nama Penduduk berhubung isu di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan lima wakil rakyat, di daerah Kuala Selangor menganggotainya iaitu Ahli Dewan Negeri Permatang, Jeram, Ijok, Bukit Malawati dan Sungai Burong.

“Ahli Jawatankuasa Pemilihan dan keluarga mereka disaran tidak menjadi penerima tanah kerajaan di Kampung Sungai Yu, manakala ahli jawatankuasa yang layak menerima tanah hendaklah meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa untuk mengelakkan konflik kepentingan.

“SELCAT juga meminta Kerajaan Negeri membatalkan proses pemberimilikan tanah kepada pemohon yang gagal memenuhi syarat satu keluarga satu lot sehingga jawatankuasa pemilihan baru dilantik untuk mengkaji serta mengesahkan kelayakan kesemua pemohon,” katanya.

Pada masa sama, SELCAT turut memandang serius kesilapan dan kecuaian Pejabat Tanah/Daerah Kuala Selangor dalam proses pengesahan dan penyemakan butiran peribadi pemohon yang tidak sepatutnya berlaku kerana senarai semak lengkap merangkumi perincian dokumen dilampirkan pemohon.

“Justeru, permohonan yang tidak menepati syarat patut ditolak melalui tapisan pertama di kaunter penerimaan permohonan dan SELCAT menyarankan perkara ini diambil perhatian serius oleh Pejabat Tanah/Daerah Kuala Selangor supaya ia tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan dalam surat diterima daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 29 November lalu bahawa Kertas Penyiasatan Awal sudah dibuka dan siasatan dijalankan.

Namun, katanya, setelah dikaji, SPRM mendapati tiada kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) lalu, ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak mendakwa isu penyerahan surat kelulusan tanah dan borang 5A kampung berkenaan mengandungi maklumat palsu.

Antara maklumat palsu itu didakwa membabitkan senarai 18 nama penerima yang menggunakan kad pengenalan palsu selain penerima tanah adalah penduduk luar Selangor.

Difahamkan, tanah berkeluasan 14 hektar itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pada 27 April 2016 bagi tujuan kediaman kepada 175 pemohon membabitkan 154 pemohon India, Melayu (20) dan Cina (1).