Categories
SASTERA

Amangkurat, Amangkurat: Singkap sisi gelap kekuasaan

Oleh Hafiz Hamzah

Foto Wihdi Cahya (Komunitas Salihara)

RUANG Blackbox di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), sesuai dengan namanya, gelap pekat walaupun ada sedikit lampu yang berpancaran Sabtu lalu. Malam sebelumnya, kantung e-mel saya menerima sebuah perkhabaran tidak enak; nama saya tidak tersenarai untuk masuk dan menonton persembahan antarabangsa pertama pementasan teater Amangkurat, Amangkurat dari Indonesia.

 Tetapi, selepas duduk dan berbicara sendiri dengan penulis naskhahnya — Goenawan Mohamad atau lebih dekat dengan panggilan Mas Goen — dan mendengar tentang “kebuasan” serta adegan dengan simbol “erotika” yang turut ditampilkan di dalam teater berkenaan, maka untuk tidak diterima masuk menyaksikan pementasannya bukanlah satu pilihan.

Tiba sedikit lebih awal, dan ketika teman-teman yang memeriksa senarai nama seperti berdepan dengan masalah di meja pendaftaran, saya berjalan bersahaja, dengan tenang menuju ke pintu utama dan masuk ke dalam perut kamar berkenaan.

Tanpa ada seorang pun yang menahan atau bertanyakan apa-apa; itu suatu rahmat yang cukup baik. Di dalam ruang yang separa gelap, saya melihat sebuah tandu yang terletak elok di bahagian kiri pentas. Mas Goen dan Iswadi Pratama, si sutradara teater ini nampak agak tegang dan senyap memerhatikan suasana dari bahagian kanan pentas.

Dari sistem siar raya yang ada, bunyi cengkerik yang sayup-sayup dimainkan berulang kali lama sebelum pintu dibuka dan penonton dibenarkan masuk — barangkali sebagai kaedah untuk membuatkan penonton “masuk” ke dalam set dengan ambiance yang diinginkan oleh cerita itu walaupun tanpa mereka sedari kesannya.

Di hujung panggung, di belakang tempat duduk paling tinggi di atas adalah tempat juru tata bunyi, visual dan cahaya duduk dan mengawal setiap gerak yang diperlukan untuk menyokong perjalanan pementasan biar lancar.

Dari lantai bawah, sebaik lampu dimalapkan dan orang-orang memenuhi ruang panggung, babak pertama Amangkurat, Amangkurat pun berjalan; tandu dipikul oleh askar-askar yang lelah. Kita jadi tahu bahawa seterusnya si raja Amangkurat di bawah ke tempat persembunyiannya dan cerita pun dimulakan — menuju hari-hari akhir sebelum kematiannya.

Latar cerita yang mengikat keseluruhan 14 adegan yang mendirikan teater ini ialah melalui watak Juru Kebun; berbolak-balik antara masa lalu dan masa nyata menurut rentang yang mendasari kisah di sebalik lakon berkenaan. Dan, sejak mula ceritanya berjalan, yang dihamparkan adalah penampilan jiwa-jiwa yang kotor dan dikotorkan oleh kekuasaan.

Saya melihat watak Juru Taman dengan penuh misteri; tak berlebihan kalau saya ingin mencadangkannya sebagai jelmaan Iblis dengan hasutan-hasutan dan suara yang menggetarkan jantung — ia sudah berkali-kali dibunuh, termasuk oleh bapa Amangkurat, Sultan Agung, namun setelah itu tetap hidup lagi dan membawakan cerita serta ingatan terhadap masa lalu kerajaan Mataram yang hitam.

Juru Kebun menjahit semua kisah-kisah itu menjadi satu naratif yang kemas selama satu jam setengah pementasan itu berlangsung. Dan dia juga yang membawa khalayak melihat semua kejahatan-kejahatan — serta pembalasan — ke atas raja Amangkurat. Dari air kelapa yang diracun oleh anaknya sendiri dan pengkhianatan oleh putera mahkota itu yang bersekongkol dengan musuh Mataram, hinggalah kepada perebutan kuasa yang direncanakan mereka pada satu babak lain.

Kemudiannya, ada hal lain yang lebih menghiris. Perintah bunuh terhadap puteri muda cantik dari Surabaya, Sohoyi yang ketika usianya baru 12 tahun dibawa ke Mataram untuk si raja tetapi jatuh cinta pula kepada anaknya — dia dibunuh oleh kekasihnya sendiri dengan kejam; telanjang di ribaan sebelum dihunuskan sebilah keris pada tarik nafas kelima yang menembus buah dadanya. Di pentas sebelum itu ada disaksikan sebuah tari berlangsung dengan berahi antara kedua-duanya.

Selain itu, watak tunjang utama teater ini yang turut menjadi pasak cerita tentulah raja Amangkurat sendiri, yang dibawakan oleh pelakon ulung Indonesia, Slamet Rahardjo Djarot. Karisma yang dibawakan dan dilepaskan di pentas menjadikan lakon ini punya pemberat yang luar biasa kesannya, memaku perhatian penonton dengan sangat baik terhadapnya.

Letakkan kecermatan penulisan naskhah, jalan cerita serta bakat para pelakonnya di tepi, masih tersisa satu lagi perkara yang membuatkan teater ini begitu berhasil; perincian terhadap semua perkara yang dilakukan di pentas, terutama kehalusan seni lakon, meletakkannya pada aras ketelitian yang tersendiri.

Bagaimana aksi pertarungan antara dua anak Amangkurat, Drajat dan Puger menjadi begitu hidup, tak hanya pada langkah pencak mereka, tetapi juga aksi rotan yang dibawa dengan sangat yakin dan kemas bersama kibas angin yang kedengaran jelas dari pentas itu memberikan nyawa yang lain dan menghidupkan teksnya di mata penonton.

Juga satu aksi kecil lain yang cukup besar ertinya; riak wajah dan gerak badan minimal yang ditunjukkan oleh dayang-dayang raja setiap mereka mendengar perbualan antara Amangkurat yang tersepuh dikerusi dan Juru Taman yang melingkar di setiap sudut berkaitan hal-hal kejahatan yang pernah dilakukan. Dihimpunkan semuanya, Amangkurat, Amangkurat adalah satu pengalaman menonton secara langsung dengan ketegangannya yang konsisten.

Dalam memaparkan bingkisan kebuasan manusia berkuasa, pementasan berkenaan juga adalah satu kritik terhadap beberapa hal lain. Mengkritik kekuasaan dan kerakusannya jadi satu hal. Dari dialog-dialog yang ada juga, kritik terhadap agamawan serta mencemuh tingkat sosial yang keras melalui watak dua anak Amangkurat yang cenderung berahi homoseksual menjadi antara detik yang mengendurkan sedikit ketegangan dalam cerita berkenaan.

Dari Amangkurat sendiri, kita akan mendengarkan baris-baris ini; “…Tapi jika kalian menghakimiku dengan kekuasaan langit, aku bisa menghakimi kalian dengan kekuasaan lain. Mataram. Aku nyata.” Itu bahana kejahatannya terhadap golongan agamawan, sebelum 170 algojo memancung 5,000 leher yang menyebabkan “alun-alun becek seperti setelah hujan dua hari. Bau amis tidak berakhir sampai sepekan.”

Suara feminis melawan patriarki juga mungkin juga boleh didengarkan dari watak Sohoyi; “Raja mengatakan aku cantik, aku merangsang, tapi aku belum ranum. Maka akupun disimpan untuk menunggu waktu dimakan, seperti buah cempedak. Aku buah cempedak!” Ada banyak lagi kecerdikan-kecerdikan halus yang diselitkan dalam pementasan ini, tentunya.

Ketika selesai semuanya, saya bertanyakan kepada kedua-dua Mas Goen dan Iswadi Pratama tentang reaksi mereka terhadap pementasan itu. Si sutradara menjelaskan yang persembahan di Malaysia ini lebih kemas, kerana beliau sempat melakukan beberapa perubahan untuk memantapkan lagi keterampilan cerita berkenaan.

Mas Goen juga bercakap dalam nada yang sama; pementasan kali ini lebih lancar jika dibandingkan dengan sebelum ini — walau di atas alasan apa sekalipun. Bagi yang sempat menontonnya hujung minggu lalu, ia mungkin sebuah pengalaman yang mengasyikkan.

*Pementasan teater ini sempena Festival Bahasa & Persuratan Melayu Nusantara 2017 anjuran Kerajaan Selangor.