Categories
SELANGOR

Terharu bantuan Kerajaan Selangor luluskan pinjaman perumahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SELAYANG, 27 DIS: Penduduk asal Bukit Botak terharu apabila impian memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai ekoran permohonan pinjaman untuk membeli rumah di Taman Mutiara Selayang yang diusahakan bertahun-tahun akhirnya mendapat kelulusan pihak Maybank Berhad Seksyen 14 dengan bantuan Kerajaan Negeri.

Sugan a/l Govindasamy, 27, yang mendiami kawasan itu sejak kecil berkata, pada awalnya bapanya menemui jalan buntu untuk mendapatkan pinjaman, namun dengan adanya bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri menyebabkan peluang memiliki rumah sendiri kembali terbuka.

“Semasa saya kecil rumah kami dirobohkan untuk dibangunkan projek perumahan tetapi bapa saya yang berkerja sebagai juruteknik tidak layak mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah.

“Apabila Kerajaan Negeri baru ambil alih, kami kembali mencuba dengan menggunakan nama saya tetapi masih sukar kerana saya masih belajar pada masa itu. Namun dengan pertolongan Kerajaan Negeri kami mendapat pinjaman untuk membeli rumah,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Taman Mutiara Selayang di sini, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri membantu keluarga beliau untuk memiliki rumah berharga RM99,000 dalam pelbagai aspek seperti membantu menyediakan dokumen dan berunding bagi pihak pembeli dengan pihak bank bagi memudahkan kelulusan peminjam.

Sementara itu, Mohd Zain Mohamad, 60, pula berkata beliau terpaksa menunggu selama kira-kira dua tahun sebelum permohonan pinjamannya diluluskan pihak bank.

“Tiada apa yang dapat saya katakan melainkan terima kasih banyak kepada Yang Berhormat Mohd Zaidy kerana menjayakan kelulusan pinjaman. Dua tahun menunggu pinjaman diluluskan tetapi sekarang saya lega dapat rumah sendiri,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini beliau juga pernah berhadapan pengalaman dihalau pemilik rumah disebabkan kegagalan membayar sewa rumah.

Sebelum itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib sempat berkongsi pengalaman beliau melalui peringkat awal untuk mengesan penduduk asal Bukit Botak.

“Kami menghadapi timbunan dokumen lama di mana banyak antaranya tulisan yang sudah pudar sehingga sukar untuk dibaca tetapi Alhamdulillah mereka ini dapat dikesan dengan bantuan jiran-jiran lama mereka,” katanya.

=EZY=