Categories
GLOBAL

AS, Rusia bertelagah isu Iran

NEW YORK 6 JAN: Amerika Syarikat dan Rusia bertelagah berhubung Iran di Majlis Keselamatan semalam ketika perhimpunan prorejim diadakan hari ketiga berturut-turut susulan gelombang bantahan yang sudah meragut 21 nyawa.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, menggesa mesyuarat diadakan, menegaskan ketegangan boleh merebak menjadi konflik lebih besar dan membandingkan keadaan itu dengan Syria.

“Rejim Iran kini berada dalam perhatian: dunia menyaksikan apa yang dilakukan,” katanya.

Sementara Rusia membantah desakan isu Iran dibincangkan, berkata bantahan itu tidak memberi ancaman kepada keamanan dan kestabilan antarabangsa. Namun ia tidak menghalang mesyuarat diadakan.

“Kami kesal dengan kehilangan nyawa dalam demonstrasi itu yang jelas tidak berjalan dengan aman.

“Bagaimanapun, biarkan Iran berurusan dengan masalahnya sendiri,” kata Duta Rusia, Vassily Nebenzia.

Keseluruhannya, 21 maut dan ratusan lagi ditahan sejak 28 Disember lalu apabila tunjuk perasaan berhubung masalah ekonomi bertukar menjadi penentangan terhadap rejim, dengan serangan dilancarkan ke atas bangunan kerajaan dan balai polis.

SUMBER: AFP