Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Enam teras pelan strategik, tingkat industri pelancongan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM – Pelan pembangunan industri pelancongan negeri dirangka secara efektif bagi memastikan Selangor menjadi sebagai sebuah destinasi pelancongan menarik, di negara ini.

Tourism Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, enam teras utama pelan berkenaan akan dijayakan untuk tempoh 2018.

Teras pertama meliputi penjenamaan baru Discover Selangor, Heart of Malaysia dan Discover Selangor #TakeMeAnyWhere.

“Ia adalah kempen untuk meningkatkan pasaran pelancongan dan permintaan terhadap keperluan industri itu, seterusnya menjadi penanda aras untuk menawarkan perkhidmatan pelancongan berkualiti, di Selangor.

“Penjenamaan ini dilihat sebagai salah satu daya strategi pemasaran yang unik dan kreatif supaya pelancong dapat berkongsi pengalaman bercuti, di Selangor,” menurut kenyataan itu.

Pembangunan teras kedua merujuk kepada peningkatan pelancongan permintaan dari China, India dan pasaran pelancongan baru, dari luar negara.

Tourism Selangor berkata, teras ketiga pula agenda pembangunan media kreatif dan media sosial melalui penggunaan teknologi sedia ada untuk menarik kemasukan pelancong.

Seterusnya, teras keempat menekankan kaedah pembangunan pelaburan dan perniagaan pelancongan bersama syarikat tempatan untuk menambah jaringan keperluan pelancongan.

“Strategi ini antara lain turut menjalinkan kerjasama bersamaa Invest Selangor untuk menarik pelabur menceburi industri pelancongan negeri,” kata kenyataan itu.

Teras pembangunan kelima pula menjurus kepada komitmen Tourism Selangor untuk menganjurkan pelbagai seminar dan program pelancongan di lapangan sebagai daya penarik pelancongan negeri.

Sementara teras terakhir memfokuskan kepada progam pelancongan komuniti Community Based Tourism Program (CBT).

“Ia antaranya memberi gambaran terhadap keberkesanan projek pelancongan komuniti yang dijayakan Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan, di Sabak Bernam,” jelas kenyataan itu.