Categories
SELANGOR

Persempadanan pilihan raya didakwa fokus menangkan Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JAN: Mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mendakwa persempadanan semula pilihan raya dilakukan kini tidak mengikut prinsip demokrasi sebaliknya memberi fokus bagi mengekalkan Umno-Barisan Nasional (BN) di tampok kuasa.

Dakwanya, ia berbeza pada zamannya mengetuai agensi terbabit di mana tiada arahan sedemikian dengan persempadanan semula dilakukan secara adil dan berprinsip.

“Tidak ada arahan (persempadanan semula) dan saya tidak layan (jika ada).

“Ketika saya menjadi Pengerusi SPR, Perdana Menteri ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, saya tidak pernah diarah menipu kerana beliau mempunyai prinsipnya sendiri dan berdiri dengan prinsip sama hingga kini,” katanya kepada media di ibu pejabat Institut Darul Ehsan (IDE) di sini, semalam.

Beliau berkata, SPR akan mengada perubahan bagi sesuatu kawasan pilihan raya jika didapati terdapat keperluan bagi tujuan itu dengan mengadakan perbincangan bersama ahli jawatankuasa dilantik untuk berlaku adil.

Berbeza dengan apa berlaku kini, dakwanya, perubahan dilakukan tidak memberi kelebihan kepada orang ramai selaku pengundi.

“Kita buat dulu bagi menyenangkan orang ramai untuk mengundi dan tidak melanggar prinsip ditetapkan.

“Ketika ini dilihat agak teruk kerana persempadanan semula dibuat dengan menumpukan perhatian kepada Umno-BN sama ada boleh menang atau tidak.

“Satu perkara amat tidak betul yang bercanggah dengan semangat demokrasi dan perlembagaan persekutuan,” kata Naib Presiden PPBM itu.