Categories
SUKANKINI

Kalendar bola sepak 2018 antarabangsa meriah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JAN: Kalendar bola sepak antarabangsa 2018 bakal menyajikan kejohanan terbaik di peringkat Asia dan Eropah yang pastinya dinantikan seluruh peminat bola sepak.

Memetik laporan Semuanyabola.com, tumpuan terarah kepada sukan Harimau Malaya yang bakal menyertai beberapa kejohanan selain bertindak selaku tuan rumah.

Harimau Malaya bakal membuat penampilan sulung Piala Asia Bawah-23, di China selepas diundi dalam Kumpulan C bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee akan bertemu Iraq dalam perlawanan pembukaan, pada 10 Januari diikuti Jordan tiga hari kemudian dengan kedua perlawanan akan berlangsung, di Changshu.

Manakala perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan berlangsung, pada 16 Januari ini menentang Arab Saudi, di Kunshan.

Kejohanan Negara-Negara Afrika (African Nations Championship) juga akan membuka tirai, pada 13 Januari hingga 4 Februari ini dengan penyertaan 16 pasukan.

Maghribi akan bertindak selaku tuan rumah.

Kejohanan yang dinantikan peminat bola sepah seluruh dunia, Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Rusia pertengahan tahun ini dengan tuan rumah Rusia bakal membuka tirai kejohanan menentang Arab Saudi dalam Kumpulan A, pada 14 Jun.

Ia disusuli UEFA Nations League yang akan memulakan aksi selepas Piala Dunia 2018 tamat. Undian kumpulan akan berlangsung, pada 24 Januari ini.

Malaysia akan bertindak sebagai hos bagi Piala Asia Bawah-16 dengan 16 pasukan bertanding dalam kejohanan yang diadakan, pada 20 September hingga 7 Oktober.

Antara negara yang bakal beraksi ialah, Afghanistan, Australia, India, Indonesia, Iran, Iraq dan Jepun.

Turut menampilkan Jordan, Korea Utara, Korea Selatan, Oman dan Tajikistan, Malaysia selaku tuan rumah juga akan beraksi.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir bakal layak ke Piala Dunia Bawah-17, pada 2019.

Piala AFF akan kembali dengan pusingan akhir bakal dilangsungkan, pada 8 November hingga 15 Disember
dengan format baharu menampilkan 10 pasukan dan diasingkan kepada dua kumpulan.

Setiap kumpulan mempunyai lima pasukan dengan masing-masing akan bermain dua perlawanan, di laman sendiri dan dua aksi di gelanggang lawan.

Pusingan kelayakan akan diadakan, pada September 2018 antara Brunei dan Timor Leste, sementara Australia tidak akan bertanding.