Categories
SELANGOR

KDEB bakal ambil alih 68 zon pembersihan awam MPK

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JAN: KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) bakal melengkapkan pengambilalihan pengurusan pembersihan awam Majlis Perbandaran Klang (MPK) tahun ini.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, proses pengambilalihan KDEBWM dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 1 Mac 2017 lalu.

Katanya, KDEBWM sehingga kini telah mengambilalih 60 zon pembersihan awam MPK.

Beliau berkata, baki 8 zon lagi akan diambil alih secara berperingkat bagi melengkapkan keseluruhan 68 zon pembersihan awam di seluruh daerah Klang yang sebelum ini diuruskan oleh MPK.

“Pengambilalihan ini akan menjadikan KDEB Waste Management bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perkhidmatan pembersihan awam di MPK,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Difahamkan antara kawasan yang terlibat di dalam fasa terakhir pengambilalihan yang melibatkan tujuh fasa secara keseluruhannya itu membabitkan Taman Sri Andalas, Taman Eng Ann, dan Bandar Armada Putra, Pulau Indah.

Terdahulu, Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasin Bidin berkata, RM25 juta setahun telah diperuntukan kepada kepada KDEBWM untuk menguruskan pungutan sisa pepejal domestik di seluruh daerah Klang.

Selaras aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebuah negeri pintar di bawah inisiatif Smart Selangor, KDEBWM memperkenalkan pelbagai mekanisme aduan.

Ia dilaksanakan bagi memudahkan warga Klang untuk menyalurkan aduan berhubung kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam termasuk aplikasi iClean Selangor.

Aplikasi ini boleh dimuat turun dari Android Play Store dan Apple App Store.