Categories
SELANGOR

LZS serah RM43,200 bantu 114 mangsa banjir

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan RM43,200 kepada 114 keluarga mangsa banjir di daerah Hulu Langat, baru-baru ini.

Bertempat di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Batu 14, Hulu Langat, bantuan disempurnakan Ketua Operasi Agihan LZS Hulu Langat, Mohd Aqmal Jais.

Turut hadir Penghulu Mukim Hulu Langat dan Ketua Kampung Sungai Serai.

LZS dalam kenyataannya berkata, semoga bantuan zakat berkenaan meringankan beban mangsa banjir terlibat.

Terdahulu, 251 mangsa daripada 69 keluarga di Hulu Langat ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaaan Sungai Serai ekoran banjir di kawasan itu, pada November lalu.

Unit Pengurusan Bencana Selangor, Smart Selangor Command Centre (SSCC) melaporkan hujan lebat menyebabkan paras Sungai Langat naik hingga melepasi paras bahaya iaitu 1.1 meter.

Antara kawasan terjejas banjir adalah Kampung Sungai Tekali, Kampung Pasir, Kampung Sungai Pening dan Kampung Seri Nanding.