Categories
SELANGOR

MPSJ giat atasi aktiviti sampah haram

OLEH NORHAYATI UMOR

PUCHONG, 10 JAN: Satu mesyuarat penyelasaran bagi mencari penyelesaian menyeluruh isu pencerobohan dan pembuangan sampah haram di tapak kosong bersebelahan Intan Apartmen, di sini akan dilaksanakan.

Timbalan Pengarah Korporat Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, ketika ini pihaknya mengambil tindakan dengan meletakkan batu konkrit bagi menghalang tindakan itu dari terus dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, MPSJ menerima aduan mengenai kegiatan pembuangan dan pelupusan haram itu pada 12 Disember lalu dan hasil semakan mendapati tanah terbabit merupakan rizab sekolah.

“Siasatan turut mendapati, tanah terbabit diceroboh untuk aktiviti sampah haram bagi sisa binaan dan domestik. MPSJ turut mengemukakan surat makluman kepada Jabatan Pendidikan Selangor berkenaan perkara itu.

“Kita juga mengadakan operasi di kawasan itu bersama Kementerian Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian serta Pejabat Tanah dan Daerah, Isnin lalu,” katanya.

Baru-baru ini, penduduk di kawasan berkenaan mengadu tidak tahan menghidu bau busuk ekoran terdapat aktiviti pembuangan sampah haram yang terletak kurang 100 meter dari kediaman mereka.

Penduduk mendakwa beberapa buah lori lima tan keluar masuk ke tapak itu yang membawa muatan sampah.