Categories
SUKANKINI

PKNS FC mahu mantapkan jentera serangan

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JAN: PKNS FC masih meneliti beberapa calon pemain import di bahagian serangan bagi memantapkan pasukan menjelang pembukaan saingan Liga Malaysia 2018, pada 3 Februari ini.

Jurulatihnya, Datuk K Rajagobal berkata, pasukannya tidak mahu terburu-buru mengisi kekosongan bahagian berkenaan kerana mahu mencari yang terbaik terutama dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang.

“Kita masih lagi mahu memantapkan bahagian serangan dengan mencari penyerang yang sesuai dan mampu menjalankan tugas menjaringkan gol serta serasi dengan pasukan.

“Kita tahu tarikh akhir untuk mendaftarkan pemain dan tidak mahu terburu-buru kerana itu bahagian penting bagi menghadapi kempen liga,” katanya kepada Selangor Kini.

Menyentuh soal keserasian pemain sepanjang beberapa siri latihan dan perlawanan persahabatan Rajagobal berkata, ia mengambil masa yang lama untuk kesemua pasukan tetapi beliau akan melihat perkara itu lebih mendalam selepas bermulanya liga.

Red Ants sebelum ini secara rasmi mengumumkan dua pemain import baharu iaitu Romel Morales Ramirez dari Columbia dan Muhammad Faris Ramli dari Singapura bagi memperkuat pasukan mengharungi Liga Malaysia 2018.