Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nor Azmie Pegawai Kewangan Negeri baharu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JAN: Dato’ Nor Azmie Diron secara rasmi melaporkan diri kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini sebagai Pegawai Kewangan Negeri baharu, berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Beliau menerima surat pelantikan daripada Ketua Setiausaha Negara, pada 19 Disember 2017 bagi menggantikan Pegawai Kewangan Negeri terdahulu, Dato’ Noordin Sulaiman.

Ketika ditemui sejurus pertemuan bersama Mohamed Azmin yang berlangsung hampir 20 minit, beliau menyifatkan tanggungjawab baru itu berat dan berharap seluruh warga kerja akan bersama membantu memperkukuh pentadbiran Selangor.

“Dalam pertemuan itu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan kepada saya tugas yang perlu dipikul sebagai Pegawai Kewangan Negeri baharu dan arahan berkaitan usaha membangunkan Selangor seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2018 supaya ia dapat dilaksanakan dengan baik.

“Satu tanggungjawab baru yang sangat berat kepada saya, namun saya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.

“Saya mohon doa daripada seluruh pentadbiran negeri supaya dapat membantu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya” katanya.

Nor Azmie, 49, mula berkhidmat di Selangor sejak 2007 sebagai Timbalan Pengarah Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN.