Categories
SELANGOR

Bekas yang dipertua MPK dilantik pegawai kewangan negeri baharu

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Negeri melantik Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin sebagai pegawai kewangan yang baharu berkuat kuasa esok.

Penyerahan surat pelantikan kepada Ahmad Fadzli  telah disempurnakan setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim di pejabatnya semalam.

Beliau yang berumur 49 tahun pernah berkhidmat sebagai dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak April tahun lalu.

Semalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menerusi Facebook mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Ahmad Fadzli.

Beliau menggantikan Haris yang dilantik sebagai setiausaha Kerajaan Negeri awal tahun ini.

Ahmad Fadzli yang berasal dari Ipoh pernah bertugas di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sebagai ketua Kluster Pembangunan Pengurusan dan Inovasi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pegawai kewangan baharu hasrat kekal kutipan hasil negeri RM2 bilion

SHAH ALAM, 19 MAC: Pegawai kewangan yang baharu beriltizam untuk mengekalkan kutipan hasil negeri berjumlah RM2 bilion setahun di sebalik cabaran pandemik Covid-19.

Mengakui tugas itu berat, namun Dato’ Haris Kasim akan merangka pelbagai strategi dalam usaha memenuhi mandat diberikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Ini tanggungjawab yang agak berat terutama selepas pandemik, namun kita akan teruskan kestabilan kutipan selain menyusun perbelanjaan berhemah,” katanya ketika ditemui.

Petang tadi, mantan Datuk Bandar Shah Alam itu diraikan dalam Majlis Lambaian Kasih di sini.

Haris dilantik sebagai pegawai kewangan negeri berkuat kuasa 12 Mac menggantikan Dato’ Nor Azmie Diron yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sejak 3 Februari lepas.

Sebelum Datuk Bandar, beliau pernah memegang jawatan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor pada Januari 2015 dan menyandang jawatan pegawai daerah Hulu Langat.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai yang dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor antara 2005 hingga 2011 dan pegawai pejabat daerah dan tanah Sepang pada 2012 hingga 2014.

 

Categories
SELANGOR

IR4.0: Tingkat pendidikan, lahir modal insan kelas pertama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 9 JULAI: Pendidikan antara sektor yang menjadi fokus utama Kerajaan Negeri bagi melahirkan modal insan kelas pertama dengan pengetahuan lengkap dalam mendepani cabaran Industri 4.0 (IR4.0).

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron berkata, tumpuan terarah kepada semua tahap pendidikan bermula daripada peringkat awal kanak-kanak sehingga seseorang itu berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

“Pendidikan adalah perkara yang cukup penting dan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

“Oleh sebab itu, kita akan mengkaji secara menyeluruh apakah masalah dihadapi seterusnya mencari jalan penyelesaian terhadap cabaran dalam hal pendidikan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Dialog Bajet 2020 Kluster Pendidikan, di Grand Ballroom, Tenera Hotel, di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat Dasar Ekonomi dan Korporat Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, Dr Zulkifli Zakaria dan Ketua Kumpulan Penyelidikan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Mohd Hassan Mohd Osman.

Siri pertama dialog bertemakan Hab Pendidikan Holistik: Pemacu ‘Selangor Maju Bersama’ itu adalah wadah mencetuskan idea dan pemikiran baharu bagi membolehkan Kerajaan Negeri melaksanakan pendidikan untuk semua.

Azmie berkata, pelbagai soalan dan cadangan dikemukakan wakil rakyat termasuk wakil badan bukan kerajaan (NGO) dalam menambah baik dan meningkatkan mutu pendidikan di Selangor.

Katanya, kesemua input diperoleh menerusi sesi dialog berkenaan akan menjadi rujukan Kerajaan Negeri dalam menyediakan draf belanjawan 2020 yang penting buat Selangor, terutama membabitkan dasar serta rangka yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau dilihat maklum balas daripada soalan dibangkitkan, kita dapati bahawa semua bersetuju isu berkaitan sahsiah perlu diberi penumpuan.

“Kedua, isu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak dan ia berkisar kepada persoalan bagaimana untuk memberikan kemahiran kepada anak-anak di Selangor

“Selain itu, dialog ini ini juga mendapati terdapat permohonan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk memastikan Orang Asal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) diberi penumpuan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Perkasa TVET, tangani lambakan buruh asing

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 9 JUL: Kerajaan Negeri akan terus memperkasa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya terhadap generasi muda sebagai langkah mengurangkan lambakan pekerja asing yang memonopoli industri pembinaan serta pembuatan di Selangor.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron berkata, pendidikan TVET mampu melahirkan keupayaan tenaga kerja kepada bentuk automasi memandangkan kebanyakan industri di negara ini masih bergantung kepada bentuk pekerjaan manual.

“Kita bergerak sejak 2016 untuk menunjukkan satu cita-cita mengembangkan lagi pendidikan TVET kerana kebanyakan warga asing banyak terbabit dalam sektor 3D (Dirty, Difficult & Dangerous).

“Apabila kita mengembangkan TVET, pada akhirnya keupayaan tenaga kerja adalah kepada bentuk automasi dan akhirnya automasi adalah jawapan kepada pengurangan pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Dialog Bajet 2020 Kluster Pendidikan bertemakann Hab Pendidikan Holistik: Pemacu ‘Selangor Maju Bersama’, di Grand Ballroom, Tenera Hotel, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mengajukan beberapa pertanyaan yang antara lain menggesa Kerajaan Negeri supaya memberi fokus terhadap aspek melengkapkan kemahiran graduan TVET bagi memenuhi pasaran kerja sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Pada masa sama, Azmie berkata, sekiranya kaedah automasi tidak diaplikasi dalam mana-mana industri, Malaysia akan ketinggalan kerana negara-negara serantau lain semakin giat membangunkan Industri 4.0 (IR4.0).

Katanya, negara turut dibelenggu kepada keperluan menggunakan tenaga buruh asing berikutan sektor pembuatan dan pembinaan adalah salah satu industri yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja dalam menghasilkan produk serta perkhidmatan.

“Ia adalah pekerjaan yang ‘Labor Intensive’ jadi kemungkinan lebih banyak buruh-buruh asing diperlukan di negara kita dan, jadi ini yang kita mahu elakkan.

“Kaedahnya adalah menggunakan automasi atau menggunakan mantera baharu iaitu IR4.0 dengan mengautomasi kerja yang dibuat secara rutin dan ianya dilaksanakan daripada tenaga buruh manusia kepada menggabungkan mesin ataupun robot,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nor Azmie Pegawai Kewangan Negeri baharu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JAN: Dato’ Nor Azmie Diron secara rasmi melaporkan diri kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini sebagai Pegawai Kewangan Negeri baharu, berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Beliau menerima surat pelantikan daripada Ketua Setiausaha Negara, pada 19 Disember 2017 bagi menggantikan Pegawai Kewangan Negeri terdahulu, Dato’ Noordin Sulaiman.

Ketika ditemui sejurus pertemuan bersama Mohamed Azmin yang berlangsung hampir 20 minit, beliau menyifatkan tanggungjawab baru itu berat dan berharap seluruh warga kerja akan bersama membantu memperkukuh pentadbiran Selangor.

“Dalam pertemuan itu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan kepada saya tugas yang perlu dipikul sebagai Pegawai Kewangan Negeri baharu dan arahan berkaitan usaha membangunkan Selangor seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2018 supaya ia dapat dilaksanakan dengan baik.

“Satu tanggungjawab baru yang sangat berat kepada saya, namun saya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.

“Saya mohon doa daripada seluruh pentadbiran negeri supaya dapat membantu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya” katanya.

Nor Azmie, 49, mula berkhidmat di Selangor sejak 2007 sebagai Timbalan Pengarah Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN.

Selangor Agrofest meraikan para petani,penternak

Petani manfaat peluang sertai Selangor Agrofest 2015 untuk mempromosi dan meluaskan pasaran produk.