Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sesi prasekolah, tahun satu dan dua bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Segala persiapan diatur bagi menyambut kehadiran murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua di sekolah rendah seluruh negara hari ini, selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Bagi murid yang belum mempunyai pakaian seragam, Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan mereka memakai pakaian biasa ke sekolah dan kebenaran tersebut diberikan sehingga 26 Mac ini (apabila cuti penggal pertama bermula).

Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 Nov tahun lepas, juga menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta tatacara operasi piawai (SOP).

Tidak mengambil mudah aspek SOP, KPM mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.

Ia mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek merangkumi bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang ke rumah.

Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.

Bagi murid tahun tiga hingga tahun enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri-negeri lain.

Sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta akan dibuka semula pada 8 Mac.

Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri di Sarawak ditangguhkan sehingga 14 Mac disebabkan situasi semasa Covid-19 di kawasan itu.

Walaupun keadaan pandemik Covid-19 masih belum reda di Malaysia dan terdapat juga beberapa negeri yang masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembukaan semula sekolah dilihat perlu bagi mengimbangi keperluan akses pendidikan dalam persekitaran yang selamat bagi memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran.

– BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

91,656 murid tahun satu mula persekolahan di Selangor

SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 91,656 murid memulakan persekolahan tahun satu, di Selangor pada sesi persekolahan tahun ini.

Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim dalam kenyataan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 6,020 murid berbanding 85,636, pada tahun lalu.

“Bagi kemasukan ke tingkatan satu pula, 82,441 pelajar direkodkan tahun ini, meningkat 10,256 pelajar berbanding tahun lalu,” katanya, lapor Bernama.

Secara keseluruhan, 924,868 pelajar memulakan sesi persekolahan, di seluruh Selangor bagi sesi persekolahan 2018.

Categories
SELANGOR

Ceria menjelang hari pertama sekolah

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 2 JAN: Menjelang hari pertama persekolahan 2018 di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin, kebanyakan pelajar terutama murid tahun satu kelihatan tenang dan ceria memulakan sesi persekolahan mereka.

Tinjauan SelangorKini mendapati pelajar tahun satu yang baharu memulakan persekolahan ditemani ibu bapa memenuhi ruang perkarangan sekolah untuk menghantar anak mereka.

Sesi persekolahan yang bermula, pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada 3.30 petang itu menyaksikan terdapat segelintir ibu bapa terus menghantar anak tanpa menemani mereka, di sekolah.

Bagi seorang pelajar, Harith Amirullah, dia sangat gembira dan teruja apabila masuk ke sekolah serta bertemu rakan baru di dalam kelas.

“Hari ini mak dan ayah datang menghantar saya ke sekolah tetapi saya minta ayah terus balik, tidak perlu temankan sebab saya sudah jumpa ramai kawan di sini.

Seorang lagi pelajar, Sarah Safiyah berkata, dia tidak sabar memulakan sesi pembelajaran di kelas bersama guru dan rakan lain.

“Pagi ini baru belajar satu subjek, saya tidak sabar tunggu cikgu ajar subjek lain pula,” katanya.

Sementara itu, keadaan di kelas menunjukkan guru memulakan sesi persekolah dengan bacaan doa, catatan kehadiran pelajar dan sesi suai kenal antara pelajar dan guru.

Salah seorang guru, Nooraini Afifah berkata, ia adalah pengalaman keduanya mengajar pelajar tahun satu.

“Sebenarnya agak mencabar untuk mengendalikan pelajar tahun satu, namun sebagai guru, kita mesti bijak mengawal tingkah laku mereka dan perlu peka dengan keadaan,” katanya yang mengajar subjek Akhlak.

Terdahulu, sekolah itu mengadakan sesi orientasi kepada pelajar tahun satu, pada 23 Disember lalu bagi melatih pelajar membiasakan diri dengan persekitaran di sekolah.