Categories
NASIONAL

Pembahagian kerusi PAKATAN di Kedah, Perlis bakal dimuktamadkan

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA KEDAH, 6 JAN: Perbincangan mengenai pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) masih dalam proses rundingan dan bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat ini.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu masih dalam perbincangan membabitkan rundingan komponen semua parti yang akan meletakkan faktor kemenangan sebagai keutamaan.

“Proses rundingan berjalan dengan baik namun belum ada lagi keputusan muktamad memandangkan perkara ini perlu mendapat kelulusan daripada semua komponen parti.

“Bagaimanapun, apa yg lebih penting kini adalah kesediaan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk membincangkan perkara ini secara terbuka supaya pemilihan kerusi ini dapat ditentukan,” katanya dalam Program Jelajah Peduli Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas mengenai calon PAKATAN di Kedah dalam PRU-14, Mohamed Azmin berkata, parti itu mempunyai ramai calon yang berwibawa sehingga sukar untuk dipilih.

“Kita ada banyak calon berwibawa dan tiada soal calon ‘import’ dari luar kerana ia adalah istilah digunakan untuk BN dan Umno sahaja. Mana-mana calon yang diterima rakyat dan berwibawa kita akan letakkan di mana-mana saja untuk bertanding kerana itulah kredibiliti kita.

“Terdapat prinsip yang kami gunakan dalam pembahagian kerusi dan ada juga kerusi ditentukan berdasarkan faktor yang boleh membawa kemenangan kepada PAKATAN yang harus diberikan laluan.

“Justeru itu, perkara ini perlu diperhalusi dan kita tidak melihat ia sebagai perkara yang rumit untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

=EZY=