Categories
SELANGOR

Penjawat awam diberi peluang perkukuh diri, kepakaran & profesionalisme

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 29 JAN: Penjawat awam Selangor diberi peluang luas memperkukuhkan diri dengan ilmu, kepakaran dan profesionalisme dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam yang memungkinkan mereka memegang tanggungjawab lebih besar pada masa akan datang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjawat awam sangat berpotensi untuk maju dan sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri mewujudkan Selangor Business School (SBS) dalam melahirkan kumpulan pegawai yang kompeten dan memiliki daya pemikiran strategik.

“Ia adalah bagi menyumbang kepada sektor ekonomi dan urus tadbir negeri. Justeru itu, saya memberikan komitmen untuk membuka peluang seluas-luasnya kepada penjawat awam memperkasa diri mereka.

“SBS juga akan memainkan peranan untuk mencungkil potensi dan bakat intelektual serta ikhtisas yang sedia ada dalam perkhidmatan awam Selangor,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohamed Azmin turut menyerahkan surat tawaran Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar kepada 20 pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau berkata, ia adalah komitmennya untuk membela rakyat dan bertekad untuk sentiasa melakukan yang terbaik kepada rakyat dan Selangor.

“Saya akan pastikan, kekayaan Selangor yang sedang dinikmati seluruh rakyat akan dipertahankan dan tidak akan dirompak oleh mana-mana pihak lain.

“Maka, untuk melaksanakan tugas berat ini, saya memerlukan sokongan dan dukungan anggota perkhidmatan awam sekalian untuk terus berkhidmat dengan jujur, ikhlas, berintegriti dan beramanah demi negeri dan rakyat.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi di atas bahu anda semua untuk bersama-sama membangunkan negeri, melawan korupsi dan membangunkan masyarakat berkualiti, Selangor yang maju, makmur dan disegani,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin mahu melihat peranan pegawai-pegawai wanita terus diangkat dan diberdayakan serta berada di saf hadapan dalam kemajuan dan pembangunan negeri.

“Ini adalah selaras dengan salah satu matlamat Kerajaan Negeri yang digariskan dalam Dasar Wanita Selangor,” katanya.

=EZY=