Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Tourism Selangor sasar 7.6 juta pelancong tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 JAN: Tourism Selangor mensasarkan 7.6 juta pelancong akan berkunjung ke Selangor, pada tahun ini.

Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Nazri Tashriq berkata, jumlah resit pelancongan dijangka mampu mencapai RM5.26 bilion dengan sasaran sedemikian.

“Setakat September tahun lalu, Tourism Selangor sudah mencapai 6.04 juta pelancong dengan jumlah resit RM4.2 bilion.

“Sasaran kami tahun 2017 adalah 7.4 juta dengan jumlah resit pelancongan mampu mencapai RM5.1 bilion dan ia pasti dapat dicapai, menjelang hujung Disember lalu,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, Nazri Tashriq berkata, Tourism Selangor akan memperkenalkan produk pelancongan baru bersempena tahun ini.

“Antara produk baru adalah Sky Mirror, Kuala Selangor, Bangi Wonderland, Kajang Heritage Walk, Tanjung Sepat Kuala Langat, Nickelodeon Lost Lagoon Sunway Lagoon dan Empire City Damansara.

“Selain itu, antara produk baru lain adalah Tan’yaa Hotel Cyberjaya, Qliq Hotel Damansara, Geno Hotel Shah Alam, Four Points by Sheraton dan Sheraton Hotel Petaling Jaya,” katanya.

Terdahulu, Selangor paling ramai menerima kunjungan pelancong dari China dengan jumlah 585,725, Singapura (401,726) dan Arab Saudi (201,218).

Manakala, antara pelancong lain yang turut berkunjung ke Selangor adalah dari Indonesia (180,431), Jepun (173,672), India (152,579), Thailand (104,941), Australia (80,621), Filipina (76,373) dan United Kingdom (72,655).

Bagaimanapun, Tourism Selangor memfokuskan kepada segmen pelancongan seperti sukan dan kesihatan, agro pelancongan, perubatan, perniagaan, pelayaran dan warisan, tahun ini.

Antara strategi kempen promosi pelancongan tahun ini, Nazri Tashriq berkata, Tourism Selangor akan mengadakan kempen #DiscoverSelangor #HeartofMalaysia untuk pasaran antarabangsa dan #DiscoverSelangor #TakeMeAnywhere bagi pasaran domestik.

Fokus pelancongan akan tertumpu kepada pemasaran digital dan media sosial, produk pelancongan baru dan segmen 2018, tanggungjawab sosial korporat (CSR), informasi pelancongan, program promosi dalam dan negara, acara pelancongan rasmi Tourism Selangor dan ‘Visit Malaysia 2020’ (MOTAC & TM).