Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Polisi perubahan lebih utama berbanding siapa PM

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 6 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) selaku gabungan utama pembangkang harus menawarkan polisi terbaik dan menyakinkan untuk rakyat memberikan mandat kepadanya mengambilalih pentadbiran negara.

Berbanding menamakan seseorang sebagai calon Perdana Menteri, panelis Forum Anak Muda: Siapa Perdana Menteri Pilihan Millennial? berpandang isu dinyatakan lebih penting terhadap perubahan total lebih baik untuk negara.

Bagaimanapun, mereka secara umum bersetuju calon Perdana Menteri harus seorang pemimpin berwibawa dan mewakili golongan muda sebagai generasi pewaris negara.

“Apa yang penting ialah apa ditawarkan kepada pengundi iaitu rakyat Malaysia.

“Apa solusi bagi mengatasi segala masalah dihadapi ketikak ini,” kata Amir Abd Hadi dari Demi Malaysia, berharap PAKATAN bersedia dengan perkara itu dan perlu menyentuh golongan muda.

Aktivis, Mandeep Karpal turut berpandangan bagi merealisasikan matlamat disasar, PAKATAN harus mencapai satu penyatuan kukuh dengan semangat jitu.

“Menamakan seseorang sebagai calon Perdana Menteri tidak akan menyelesaikan masalah kerana ada isu lebih besar iaitu satu semangat bersama perkukuhkan PAKATAN.

“Kita harus berubah untuk perubahan dan keadilan lebih baik bagi negara,” katanya dengan cadangan pemimpin berusia lebih 60 tahun lebih sesuai berperanan selaku penasihat bagi membimbing pemimpin muda yang diangkat menjadi Perdana Menteri.

Namun peguam, Harris Idaham berkata seseorang yang telah membuktikan daya kepimpinan perlu ditawarkan PAKATAN sebagai Perdana Menteri.

“Seorang berpengalaman dan terbukti berjaya perlu diangkat PAKATAN sekiranya mengambilalih Putrajaya.

“Selaku Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah membuktikan kebolehannya dalam tempoh tiga tahun menggalas tanggungjawab berkenaan,” katanya.

Forum berlangsung di pejabat MalaysiaKini itu turut menampilkan panelis, Azira Aziz (aktivis) dan Adrian Lim (Bebas Anwar) serta moderator, Muhammad Kamil Abdul Munim.

=EZY=