Categories
SUKANKINI

Stadium Shah Alam: Penyokong mahu Kerajaan Negeri dan FAS berbincang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 JAN: Badan Bertindak Penyokong Selangor mahu Kerajaan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) berbincang bagi menyelesaikan kemelut penggunaan Stadium Shah Alam supaya boleh digunakan Selangor sebagai gelanggang tuan rumah.

Jurucakapnya, Mohd Firdaus Abdul Mutalib berkata, pihaknya bersedia dijemput menjadi orang tengah untuk kedua-dua pihak berbincang supaya tiada rahsia antara Kerajaan Negeri dan FAS sekiranya enggan mengatur mesyuarat dalam masa terdekat.

“Pengurusan FAS serta Kerajaan Negeri berbincang secara rasmi dan menyelesaikan isu berkaitan pengurusan pasukan bola sepak Selangor terutamanya berkaitan penggunaan Stadium Shah Alam demi kepentingan semua penyokong.

“Kami bukan mahu mencari musuh atau salah sesiapa sebaliknya ia lebih kepada tindakan akhir yang diambil atas dasar sayang dan cintakan pasukan bola sepak Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan pintu gerbang Stadium Shah Alam hari ini.

Katanya, mereka akan menyerahkan satu memorandum kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali esok jam 10 pagi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kami akan menyerahkan satu memorandum supaya Kerajaan Negeri membenarkan Stadium Shah Alam dijadikan gelanggang rasmi pasukan Selangor selewat-lewatnya dalam saingan pusingan kedua Liga Super 2018.

“Kami menuntut FAS dan Kerajaan Negeri memberi jawapan balas terhadap segala tuntutan dan desakan kami dalam tempoh 48 jam selepas memorandum diserahkan,” katanya.