Categories
SELANGOR

Tepis stigma ‘wanita hanya di dapur’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB : Stigma golongan wanita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu hal rumah tangga perlu ditepis masyarakat kini, kata Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamarudin.

Beliau berkata, martabat golongan wanita juga perlu diangkat seiring kepentingan kaum lelaki dalam menjana perkembangan ekonomi keluarga.

“Perkara sama juga sering dilihat dalam isu menjaga ibu bapa uzur, seolah-olah terdapat satu stigma di mana dalam tugas penjagaan warga tua, tanggungjawab itu jatuh kepada anak perempuan sahaja.

“Keadaan ini boleh berlaku lebih-lebih lagi sekiranya wanita itu belum berkahwin,” katanya.

Beliau berkta demikian ketika berucap pada Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor di Dewan Auditorium Tingkat 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Raja Tun Uda, pagi ini.

Beliau berkata, realitinya golongan wanita kini dilihat semakin berkembang maju dengan pencapaian golongan itu dalam pelbagai bidang ekonomi dan pendidikan.

“Jika dilihat dari sudut pendidikan, nisbah pelajar lelaki dan wanaita di universiti secara purata menunjukkan dominasi pelajar wanita dengan peratusan sebanyak 60 peratus.

“Malah, ada sesetengah IPT di negara ini hampir 75 peratus pelajarnya adalah golongan wanita berbanding lelaki, tetapi jumlah ini secara jelas tidak diterjemah dengan penglibatan wanita di dalam industri pekerjaan.

“Justeru adalah menjadi kerugian amat besar sekiranya graduan wanita terpaksa memilih antara kerjaya dan keluarga sedangkan mereka mampu memperoleh keseimbangan kedua-duanya,” katanya.