Categories
SELANGOR

5,000 dijangka hadir meriahkan pembukaan Stadium MPAJ

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 30 MAC: Seramai 5,000 warga Ampang dijangka bakal memeriahkan Majlis Pembukaan Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), 8 April ini.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi menarik lebih ramai penduduk setempat hadir memeriahkan majlis perasmiannya.

“Antara aktiviti menarik adalah kayuhan santai melibatkan penyertaan penduduk tempatan dan cabutan bertuah yang menawarkan 200 hadiah menarik.

“Turut diadakan aktiviti zumba, silat, memanah, aktiviti jalan kaki 10,000 langkah dengan jarak laluan anggaran antara tiga hingga lima kilometer,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media Mesyuarat Penuh MPAJ di Menara MPAJ, pagi ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dijangka akan turut padang merasmikan pelancaran pembukaan stadium milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Sementara itu, majlis pelancaran stadium yang menelan belanja RM23 juta itu akan diadakan di Pandan Perdana.

Pembinaan stadium berkeluasan 5.87 ekar bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan terbaik disediakan MPAJ.

Abdul Hamid berkata, stadium yang mampu memuatkan 5,000 penonton pada satu masa itu dilengkapi padang bola sintetik berkeluasan 8,670m2.

Ia turut menerima sijil pengiktirafan badan induk bola sepak, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas faktor kesesuaiannya untuk dijadikan gelanggan kejohanan profesional.