OLEH ERMIZI MUHAMAD
AMPANG, 30: Kejayaan pembangunan Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendorong Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk aktif dalam bidang pembangunan sukan tempatan.
Komitmen itu dinyatakan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain yang optimis dapat memebentuk pasukan bola sepak MPAJ pertama di bawah pentadbirannya.
“Ada stadium baru dan tidak mustahil kita boleh mewujudkan pasukan bola sepak sendiri untuk bertanding di peringkat tertinggi
“Kita akan menilai keupayaan menyediakan pasukan bola sepak MPAJ kerana ia memerlukan kos sangat tinggi.
“Tajaan daripada syarikat atau individu yang mahu bekerjasama dengan MPAJ sangat dialu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Penuh MPAJ di Menara MPAJ, pagi ini.
Untuk rekod, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) antara PBT tempatan yang memiliki kelab pasukan bola sepak terbaik di bawah MPPJ Selangor (MPPJ FC).
Kelab itu pernah meraih pelbagai kejayaan dan mecipta legasi terbaik apabila dinobatkan sebagai kelab pertama memenangi Piala Malaysia pada 2003.
Pasukan itu diberi gelaran ‘The Black Widows’atau ‘Gergasi Biru Selangor’ dan pernah beraksi di Liga Super.
Sementara itu, MPAJ kini sudah memiliki stadium tempatan pertama di kawasan pentadbirannya dengan pembinaan Stadium MPAJ dengan nilai pembangunan RM23 juta.
Stadium berkenaan turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas faktor kesesuaiannya untuk dijadikan gelanggang kejohanan profesional.