Categories
SELANGOR

ADN sifatkan titah Sultan pendorong untuk kerja lebih kuat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor menyifatkan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih gigih berkhidmat kepada negeri dan rakyat.

ADN Sekinchan, Ng Sue Lim berkata, hal ini berikutan baginda dalam ucapannya memberi pengiktirafan terhadap usaha gigih Kerajaan Negeri mentadbir negeri ini dengan baik.

“Ucapan DYMM Tuanku Sultan hari ini cukup padat dan memberi pengiktirafan yang penuh kepada kepimpinan Dato’ Menteri Besar yang berjaya mentadbiran Selangor dengan bertanggungjawab dan menjalankan tugas dengan baik, semua peruntukan kebajikan disalurkan dan mempertahankan hak rakyat.

“Rumusan keseluruhannya titah ucapan tuanku memberi pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Selangor dan memberi nilai tambah untuk kita terus bekerja kuat memastikan Selangor terus dipertahankan dan meneruskan agenda peduli rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berlangsungnya Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Jelasnya, baginda turut memperakui Selangor sebagai negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak 22.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Selain itu, beliau juga mahukan suapaya semua pihak mematuhi titah baginda yang mahu tiada pihak tidak bertanggungjawab mempolitikkan isu berkepentingan rakyat seperti isu air.

ADN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, semua pihak bertanggungjawab perlu memandang serius saranan baginda dalam isu penyebaran berita palsu.

“Perkara ini harus ditangani dengan bijak, tak perlu ada undang-undang seperti dicadangkan pihak Kerajaan Persekutuan kerana kerangka undang-undang yang ada pada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan undang-undang fitnah sebagainya sudah cukup lengkap.

“Saya setuju perkara ini haruslah ditangani kerana banyak pihak memainkan berita palsu ini, malah kadang-kadang dalam media perdana sendiri pun misalnya mereka mainkan isu air Selangor berleluasa berita palsu itu,” katanya.

Sementara itu, ADN Subang Jaya yang juga Speaker DNS, Hannah Yeoh pula menyambut baik titah baginda berkenaan buku DNS yang berjaya diterbitkan.

“Titah ucapan tuanku mengenai buku DNS sudah diterbitkan dengan jayanya dan kita telah edarkan di seluruh perpustakaan di Selangor dan semua wakil rakyat.

“Buku itu merekodkan kejayaan DNS sejak 2008 dan ia adalah rujukan segala proses serta apa yang berlaku dalam dewan, koleksi bergambar untuk ADN simpan sebagai memori,” katanya.