Categories
AGAMA SELANGOR

Bantuan kewangan RM680,000, tingkat pembangunan pusat agama Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 25 MAC: Sejumlah RM680,000 bantuan kewangan disalurkan Kerajaan Negeri bagi tujuan pembaikan fasiliti pembangunan masjid, surau dan institusi keagamaan Islam bagi kawasan Parlimen Gombak.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai komitmen berterusan Kerajaan Negeri membangunkan institusi keagamaan dan syiar Islam di negeri itu.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri secara berterusan kerana Kerajaan Negeri mahu surau dan masjid di Selangor ini bukan hanya hebat dalam bentuk infrastruktur dan pembangunannya sahaja, tetapi meliputi pelbagai aspek lain.

“Justeru, saya menyeru pimpinan masjid dan surau untuk menggunakan kemudahan dan bantuan kewangan ini agar ia boleh diimarahkan kerana asas pembangunan masjid itu dibina atas dasar taqwa dan penyatuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan di Surau Nurul Hijrah Al- Khlidah, Kampung Melayu, Sungai Sering Bukit Antarabangsa, petang ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri ; Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Negeri sebanyak RM400 juta diperuntukkan pada pembentangan Belanjawan Negeri 2018 kepada JAIS.

Mohamed Azmin berkata, penyediaan peruntukan itu perlu dilaksanakan bagi tujuan pembangunan masjid, surau dan institusi Islam di Selangor terus diperkasakan.

Katanya, ia juga selaras dengan prinsip pentadbiran negeri untuk mengimbangkan dasar pembangunan kerohanian dan sejagat.

“Tidak ada maknanya kita membangunkan bangunan yang hebat pencakar langit, tetapi tidak wujud idealisme perjuangan dengan prinsip Islam sejagat.

“Jika perkara itu berlaku, masa depan negara muram kerana pembangunan berteraskan agama akan tempang kerana tidak wujudnya pembangunan kerohanian secara berterusan,” katanya.

=EZY=