OLEH ERMIZI MUHAMAD
AMPANG, 10 MAC : Rakyat berkuasa mutlak menentukan agenda berkebajikan dan manifesto ditawarkan sesebuah parti politik di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, pilihan rakyat yang tepat dan bijak memlih kerajaan mampu mengangkat dan membinaan Malaysia yang lebih baik.
Justeru katanya, keperluan itu tidak terikat kepada sebarang dakwaan negatif dan tohmahan berterusan yang dilemparkan pimpinan Umno, termasuklah Tan Sri Noh Omar.
“Tak apalah, kita sebagai sebuah parti bertangungjawab untuk menawarkan khidmat dan dasar kita kepada rakyat.
“Serah saja kepada rakyat sama ada dasar yang ditawarkan itu adalah dasar yang mampu mengangkat martabat umat atau sebaliknya.
“Bukan Noh Omar yang (boleh) menentukan masa depan negara, tetapi kita sebagai pemimpin perlu menghormati kebijaksanaan rakyat untuk memilih parti yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan kepada negara dan negeri,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Umno, Tan Sri Noh Omar yang mendakwa kononnya, manifesto yang ditawarkan gabungan Pakatan Harapan (Pakatan) bersifat tidak jelas dan dibuat untuk memancing undi.
Pada 8 Mac lalu, Pakatan tampil dengan manifesto gabungan itu yang mensasarkan agenda berkebajikan menyeluruh terhadap keperluan rakyat Malaysia.
Antara inisiatif terbesar termasuklah cadangan pelaksanaan Skim Peduli Sihat yang sebelum ini diakui kejayaannya di peringkat Selangor, selain rangkuman lima teras utama kebajikan dan janji pemansuhan cukai rakus, GST.
Terdahulu, Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Masjid Darul Ehsan di Taman Tar, Ampang petang ini.
Pelancaran majlis turut menyaksikan RM6 juta disalurkan Kerajaan Negeri bagi tujuan pembaikan fasiliti dan pembinaan unit blok baru demi kelangsungan manfaat jangka panjang warga setempat di perumahan itu.