Categories
SELANGOR

Indiustri 4.0 buka peluang pelajar INPENS ceburi pekerjaan

 

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 16 MAC: Gelombang Industri 4.0 yang memerlukan lebih tenaga mahir memberi peluang pelajar Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) menggarap lebih peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menambah peruntukan pembiayaan kepada pelajar kolej itu sebanyak RM5 juta.

Katanya, perkembangan industri itu membuktikan kalangan pelajar menyedari Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi keutamaan di banyak industri.

“Kita percaya pelajar INPENS bersedia menghadapi gelombang ini dan sebagai langkah awal INPENS sudah menjalinkan kerjasama dengan pengiat industri antaranya Perodua dan Daikin.

“Silibus pembelajarannya turut dipertingkatkan sejajar dengan peredaran masa dan kehendak industri.

“Diperingkat Kerajaan Negeri, kita percaya graduan INPENS berkualiti dan mampu bersaing secara positif,” katanya di Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada pelajar INPENS, di sini.

Ganabatirau berkata, sehingga Disember 2017, sejumlah RM27.7 juta sudah dibelanjakan sejak 2008 bagi membiayai pelajar INPENS.

Dalam majlis itu, seramai 349 pelajar menerima surat tawaran bagi sesi Januari 2018.

Sementara itu, Ganabatirau berkata, sehingga Februari lalu, seramai 3,913 pelajar menerima pembiayaan daripada Kerajaan Negeri.

Terdahulu, dalam Belanjawan Selangor 2018, Kerajaan Negeri memberi peruntukan tambahan RM1 juta menjadikan RM5 juta bagi membiayai pelajar INPENS daripada keluarga kurang berkemampuan.