Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mahu lebih ramai peniaga mohon sebagai kedai panel KISS

OLEH SABIRAH AZIZ

PELABUHAN KLANG, 29 MAC: Peniaga dan peruncit digalakkan untuk menghantar permohonan bagi menjadi sebahagian daripada kedai panel program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, permohonan untuk menjadi kedai panel program KISS masih dibuka sehingga kini.

“Sebenarnya kita mahu menggalakkan lagi peniaga dan peruncit khususnya rakyat Malaysia supaya mendaftar, sekali gus memudahkan penerima KISS berbelanja di kedai panel berdaftar.

“Walaupun saiz kedai mereka mungkin tidak besar seperti pasaraya lain, namun atas semangat dan sokongan yang diberikan, mereka telah bersama-sama menjadi sebahagian dari ahli keluarga KISS.

“Maka, diharapkan akan ada lebih ramai lagi peniaga dan peruncit bekerjasama dengan program KISS untuk menjual barangan keperluan asas kepada para ibu,” katanya selepas merasmikan Kedai Runcit Wak Adon di Kampung Perajurit, Telok Gong di sini.

Dr Daroyah berkata, pelaksanaan program KISS bukan hanya memberikan kemudahan kepada golongan ibu, malahan tidak melupakan peniaga dan peruncit kedai dengan memberi galakan kepada mereka.

Setakat ini, terdapat lebih 300 kedai runcit dan pasaraya panel KISS berdaftar di seluruh Selangor.