Categories
SELANGOR

MB selar KeTTHA: Empangan penuh, rizab air meningkat

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Kerajaan Negeri menyelar kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang mendakwa margin simpanan air di Selangor ditahap 0 peratus.

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, semua empangan di negeri itu kini mencatatkan 100 peratus bekalan air mentah.

Manakala, rizab air meningkat dari tiga peratus kepada enam peratus.

“Beliau kata 0 peratus. Bukak mata jangan makan dedak banyak sangat.

“Sebagai Pengawai Kerajaan. Buat apa bersikap macam orang politik. Kalau nak tengok, kita boleh bawa. Jangan buat fitnah,” katanya di Program Gotong Royong Perdana KDEBWM, di Padang AU2, di sini.

Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri komited memastikan rakyat negeri itu mendapat bekalan air yang secukupnya.

Katanya, hal itu dapat dibuktikan dengan pembinaan dua buah loji dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengeluarkan sejumlah RM800 juta untuk membina dua loji rawatan air bagi menjamin kelestarian bekalan air.

“Loji Labuan Dagang dijangka siap hujung tahun dengan kapasiti pengeluaran 200 Juta Liter Sehari (JLH). Manakala, Loji Rawatan di Semenyih sudah beroperasi awal Mac lalu.

“Dengan tambahan 300 JLH ini bagi kegunaan domestik dan industri ini, mana tuduhan yang kata kita tidak mampu uruskan industri air?,” soalnya.

Terdahulu, menerusi akaun Twitter, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato’ Dr Zaini Ujang memuat naik satu entri beliau menghadiri satu mesyuarat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengenal pasti punca berlaku apa yang dianggap sebagai krisis air terburuk dalam sejarah.

Katanya, margin simpanan bekalan air terawat di Selangor adalah di tahap 0 peratus, berbanding margin simpanan yang baik antara 15 hingga 20 peratus.