OLEH SYAZWANI SUFIAN
KAJANG, 6 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melangkah setapak lagi dengan menyediakan perkhidmatan Sistem Perlesenan Atas Talian (E-Lesen) bagi memudahkan penduduk di bawah seliaannya membuat permohonan dan pembaharuan lesen.
Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, sistem berasaskan web itu membantu pengguna awam, jabatan perlesenan, penjaja serta jabatan teknikal dalam mendapatkan maklumat lesen perniagaan.
Katanya, inisiatif berteknologi itu juga membantu urusan pentadbiran pemprosesan dokumen lebih efisien selari dengan agensi kerajaan dan swasta.
“Sistem ini melibatkan permohonan dan pembaharuan bagi dua kategori lesen iaitu Lesen Tidak Berisiko dan Lesen Anjing.
“Lesen Tidak Berisiko terdapat 52 jenis antaranya kedai pakaian, kedai cermin mata, kedai kasut dan kedai alat permainanan kanak-kanak melibatkan kelulusan teknikal dari jabatan perlesenan MPKj sahaja.
“Manakala lesen berisiko adalah lesen yang tidak sensitif seperti memerlukan sokongan dan ulasan jabatan kerajaan dan permohonan diterima adalah lengkap serta tidak boleh membuat sebarang ubahsuai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran E-Lesen Perniagaan dan Anjing di Ibu Pejabat MPKj, di sini hari ini.
Katanya, bagi lesen anjing, pemilik perlu mendapatkan suntikan dan sijil kesihatan sah dari pegawai atau doktor veterinar.
“Selain itu, orang ramai kini boleh mencetak sendiri lesen yang telah dimohon atau diperbaharui dari rumah sahaja tanpa perlu datang ke MPKj.
“Bagaimanapun, pemohonan lesen tidak berisiko masih diperingkat percubaan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu penambahbaikan dan ia berfungsi sepenuhnya 27 Mac ini,” katanya.