OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 27 MAC: Dalam usaha menggalakkan penglibatan rakyat menjana ekonomi isi rumah, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Karnival dan Bengkel Usahawan, pada 31 Mac ini.
MPSJ dalam kenyataan berkata, program julung kali itu bakal berlangsung di Kompleks 3K, SS13 Subang Jaya bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Katanya, program itu bertujuan membantu memberi kesedaran dan memupuk sifat keusahawanan dalam diri masyarakat.
“Selain itu, ia bagi membina keyakinan melalui taklimat keusahawanan tentang pinjaman disediakan untuk membantu pengusaha kecil memulakan perniagaan dan mempromosikan produk mereka.
“Pada masa sama, program ini juga mahu menggalakkan penyertaan masyarakat dengan aktiviti diadakan di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk dan masyarakat setempat,” katanya.
Justeru, bagi menggalakkan penduduk setempat turun padang memeriahkan program itu, pelbagai aktiviti menarik diatur.
Ia termasuklah program usahawan meliputi seminar usahawan, bengkel membuat roti canai, ‘moon cake’, durian crepe, gulai kawah dan tapai pulut, demonstrasi kraftangan serta gerai jualan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan.
Sementara itu, kaunter-kaunter agensi dalaman dan luaran seperti HIJRAH Selangor, Tekun dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil bahagian.
Aktiviti menarik lain yang turut diadakan adalah ‘food truck’, ‘car booth sales’, perasmian rumah warga emas, seminar ‘Big Girls Talk’, bengkel tatacara etika berpakaian dan komunikasi semasa temuduga bagi pelajar lepasan SPM, STPM, serta IPT.
Di samping itu, terdapat juga taklimat kesedaran pemakanan dan gaya hidup sihat secara usahasama bersama komuniti, pemeriksaan kesihatan, konsultansi pemakanan sihat, pertandingan sepakan penalti ‘soccer kids’, bengkel asas renang, bengkel asas muzik serta perlawanan amal bola.
MPSJ amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke karnival berkenaan dan merebut peluang menyertai aktiviti disediakan.