WASHINGTON 31 MAC: Dalam satu pengumpulan meluas maklumat daripada pemohon visa ke Amerika Syarikat (AS), kerajaan persekutuan kini mencadangkan mengumpul identiti media sosial daripada semua individu yang berhasrat memasuki AS, menurut dokumen Jabatan Negara.
Cadangan itu, yang perlu diluluskan Pejabat Pengurusan dan Bajet (OMB), mensyaratkan pemohon visa pendatang dan bukan pendatang untuk menyenaraikan semua identiti media sosial digunakan sejak lima tahun lalu dalam borang permohonan persekutuan.
Maklumat itu akan digunakan untuk menapis dan mengenal pasti identiti mereka, menurut cadangan itu, yang akan membabitkan kira-kira 14.7 juta orang setiap tahun.
Sebelum ini, mengikut peraturan diperkenalkan pada Mei 2017, pegawai konsular diarah mengumpul maklumat media sosial hanya untuk mengesahkan identiti atau tapisan lebih tegas keselamatan, kata pegawai Jabatan Negara.
Cadangan baharu itu diterbitkan dalam Pendaftaran Persekutuan hari ini dan orang ramai diberi tempoh 60 hari untuk mengulas prosedur semakan sebelum OMB melulus atau menolaknya.
Cadangan itu menyokong janji Presiden Donald Trump untuk melaksanakan ‘tapisan ekstrem’ rakyat asing yang memasuki AS bagi menghalang keganasan.
Jika diluluskan, langkah itu mensyaratkan pemohon menyenaraikan nombor telefon, alamat emel dan sejarah perjalanan antarabangsa sejak lima tahun lalu.
Mereka juga ditanya jika pernah diusir atau dihantar pulang dari sesebuah negara dan jika anggota keluarga terbabit dalam aktiviti keganasan, kata jabatan.
SUMBER: REUTERS