Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi perkenal visa baharu untuk pelancong

RIYADH, 27 SEPT: Arab Saudi akan memperkenalkan visa baharu bagi membuka pintu kepada pelancong, yang akan diumumkan pada majlis gala di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di ad-Diriyah, di sini, malam ini.

Memetik laporan asal BH Online, Arab Saudi dianggap negara sukar dikunjungi pelancong sebelum ini kerana hanya mengeluarkan visa untuk perniagaan dan lawatan keluarga, selain haji serta umrah.

Pengerusi Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi, Putera Ahmad Al-Khateeb berkata, ia bakal menjadi peristiwa bersejarah bagi negaranya.

“Layanan baik dan murah hati menjiwai budaya Arab sehingga kami sangat mengalu-alukan kedatangan tetamu. Pelancong akan terkejut dan seronok menyaksikan khazanah yang ingin kami kongsikan.

“Antaranya, lima Tapak Warisan Dunia UNESCO, budaya tempatan yang bertenaga dan keindahan alam semula jadi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pemilik Norah Farm, Putera Abdullah al-Saud berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pelancong asing ke wilayahnya.

“Rakyat Arab Saudi terkenal dengan kerendahan hati dalam menerima tetamu dari luar.

“Selain tarikan sejarah, al-Ula juga menawarkan pengalaman menarik melalui kebun buah-buahan seperti tamar, lemon dan mangga,” katanya kepada delegasi wartawan antarabangsa dan ‘influencer’ media sosial di al-Ula, dekat sini.

Sempena pengenalan visa baharu itu, wartawan luar negara dan ‘influencer’ media sosial turut dibawa ke destinasi pelancongan utama negara ini.

Ia merangkumi tiga tema, iaitu pelancongan budaya, mewah dan kembara.

Visa baharu itu memberi peluang untuk pelancong melawat lima Tapak Warisan Dunia UNESCO, persisiran Laut Merah dan Empty Quarter.

Antaranya, tapak arkeologi terbesar tamadun Nabataean yang terletak di luar Petra, Jordan, iaitu Madain Saleh, Al-Ula.

Selain itu, ibu kota pertama Arab Saudi, at-Turaif, ad-Diriyah dan Jeddah yang bersejarah kerana menjadi pintu masuk ke Makkah.

Pelancongan menjadi segmen penting dalam Wawasan 2030 Arab Saudi untuk meningkatkan pelancong asing dan tempatan hingga 100 juta orang pada 2030.

Categories
GLOBAL

Pemohon visa AS perlu senarai sejarah media sosial

WASHINGTON 31 MAC: Dalam satu pengumpulan meluas maklumat daripada pemohon visa ke Amerika Syarikat (AS), kerajaan persekutuan kini mencadangkan mengumpul identiti media sosial daripada semua individu yang berhasrat memasuki AS, menurut dokumen Jabatan Negara.

Cadangan itu, yang perlu diluluskan Pejabat Pengurusan dan Bajet (OMB), mensyaratkan pemohon visa pendatang dan bukan pendatang untuk menyenaraikan semua identiti media sosial digunakan sejak lima tahun lalu dalam borang permohonan persekutuan.

Maklumat itu akan digunakan untuk menapis dan mengenal pasti identiti mereka, menurut cadangan itu, yang akan membabitkan kira-kira 14.7 juta orang setiap tahun.

Sebelum ini, mengikut peraturan diperkenalkan pada Mei 2017, pegawai konsular diarah mengumpul maklumat media sosial hanya untuk mengesahkan identiti atau tapisan lebih tegas keselamatan, kata pegawai Jabatan Negara.

Cadangan baharu itu diterbitkan dalam Pendaftaran Persekutuan hari ini dan orang ramai diberi tempoh 60 hari untuk mengulas prosedur semakan sebelum OMB melulus atau menolaknya.

Cadangan itu menyokong janji Presiden Donald Trump untuk melaksanakan ‘tapisan ekstrem’ rakyat asing yang memasuki AS bagi menghalang keganasan.

Jika diluluskan, langkah itu mensyaratkan pemohon menyenaraikan nombor telefon, alamat emel dan sejarah perjalanan antarabangsa sejak lima tahun lalu.

Mereka juga ditanya jika pernah diusir atau dihantar pulang dari sesebuah negara dan jika anggota keluarga terbabit dalam aktiviti keganasan, kata jabatan.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI NASIONAL

Merchantrade Asia sasar 180,000 pemegang kad visa prabayar merchantrade money

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Merchantrade Asia Sdn Bhd mensasarkan 180,000 pemegang kad visa prabayar pelbagai mata wang yang baru diperkenalkan dengan nilai tambah RM300 juta, tahun ini.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Ramasamy K Veeran berkata, kad itu mampu mengubah nilai ringgit Malaysia menjadi lima mata wang iaitu dolar Amerika, Australia, Singapura, pound sterling dan rupiah Indonesia.

“Buat masa ini, kami lihat penggunaan perkhidmatan berkenaan sangat menggalakkan. Jadi, berdasarkan trend semasa, kami menjangkakan dapat meraih tambah nilai RM300 juta.

“Pihak kami juga mensasarkan sejuta pemegang kad dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kad Visa Prabayar Pelbagai Mata Wang Merchantrade Money di Hotel Intercontinental, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pihaknya menyediakan ujian perintis untuk kad prabayar baru dengan lebih dari 10,000 peserta serta tambah nilai lebih RM10 juta, dalam dua bulan terakhir.

Ramasamy berkata, pihaknya terkejut kerana menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada ujian itu.

“Bagaimanapun, kad prabayar ini terhad kepada RM10,000 saiz e-wallet. Kami berharap dapat meningkatkan saiz e-wallet kerana permintaan daripada pelanggan melebihi 10,000 pengguna dan kami memandang serius tentang perkara ini.

“Kami sedar orang ramai ingin mempunyai saiz dompet yang lebih besar terutama apabila mereka melancong, ke luar negara,” katanya sambil menambah syarikat itu perlu melakukan beberapa penyerahan peraturan.

Ramasamy berkata, keupayaan perkhidmatan itu menukar dari ringgit ke mata wang asing pada bila-bila masa, memberikan fleksibiliti dan kemudahan kepada pelanggan untuk menggunakan mata wang mereka bergantung pada kadar ditetapkan.

“Di samping itu, pelanggan juga boleh mengeluarkan mata wang asing di mana-mana mesin teller automatik (ATM) yang mempunyaivisa di seluruh dunia pada kadar ditetapkan, tertakluk kepada caj bank negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, KB Ng berkata, perkhidmatan baru itu akan mengubah pengalaman pembayaran untuk pelancong Malaysia dan pekerja asing, di negara ini.

“Ini adalah inisiatif kemasukan kewangan yang menarik memandangkan ramai pekerja asing tidak mempunyai kemudahan pembayaran elektronik.

“Perkhidmatan kad prabayar ini juga akan melengkapi perkhidmatan debit atau kredit Visa namun tidak dapat membebaskan produk dan perkhidmatan yang sedia ada,” katanya.

 

Categories
GLOBAL

Turki gesa AS kaji semula gantung visa

ANKARA 10 OKT: Turki menggesa Amerika Syarikat (AS) mengkaji semula penggantungan perkhidmatan visa selepas kakitangan konsulat negara itu ditahan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS ketegangan antara dua negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menjejaskan mata wang Turki dan bursa saham negara itu.

Hubungan antara Ankara dan Washington mula dibelenggu perselisihan selepas AS secara terang-terangan menyokong pemberontak Kurdis di Syria, permintaan untuk membawa pulang ulama Turki, Fethullah Gulen yang berpangkalan di AS tidak diendahkan dan pendakwaan terhadap bekas menteri Turki di mahkamah AS.

Bagaimanapun minggu lalu penahanan kakitangan konsulat AS di Istanbul memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Ankara mendakwa kakitangan terbabit mempunyai hubungan dengan Gulen yang dituduh menjadi dalang kepada rampasan kuasa gagal pada Julai 2016.

Gulen menolak sekeras-kerasnya mempunyai hubungan dengan rampasan kuasa itu.

Dakwaan Ankara itu mendapat kutukan kedutaan AS dan menganggap ia sebagai tidak berasas. Susulan itu perkhidmatan visa bukan pendatang Turki digantung serta merta.

Tindakan Washington itu serta-merta di balas Ankara yang turut membuat pengumuman terhadap warga AS yang cuba mendapatkan visa Turki.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, kecewa dengan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menggantung perkhidmatan visa di negara itu.

Beliau menambah, pihak berkuasa Kementerian Luar Turki sudah menghubungi rakan sejawatannya berhubung perkara itu.

“Pada akhirnya, keputusan itu amat mengecewakan,” kata Erdogan ketika kunjungannya ke Ukraine.

=EZY=