Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tinjauan: 77% pekerja mahu bonus tahun ini, 1/3 mahu tukar kerja

KUALA LUMPUR 7 MAC: Tinjauan Randstad Malaysia Bonus Survey bagi 2017 dan 2018 menunjukkan lebih 1/3 tenaga kerja di negara ini berhasrat menukar pekerjaan jika tidak dibayar bonus tahun ini.

Tinjauan yang dipetik The Edge itu berkata, 77 peratus pekerja mahu dibayar bonus tahun ini berbanding 66 peratus tahun lepas menunjukkan sentimen positif sekitar prestasi ekonomi dan organisasi.

Menurut laporan global terbaru Workmonitor oleh Randstad, tahap keyakinan pekerja mendapat bonus dan kenaikan gaji lebih tinggi berbanding purata global iaitu 51.3 peratus.

“Tertinggi di rantau ini dan sejajar dengan tinjauan bonus tempatan, 8 daripada setiap 10 rakyat menjangka bayaran bonus pada akhir tahun fiskal ini,” kata Randstad dalam kenyataan.

Walaupun ramai berharap dibayar bonus yang tinggi, 62 peratus responden berkata ia bukanlah faktor paling penting dalam hubungan mereka dengan sesebuah organisasi secara keseluruhan, kata Randstad.

Katanya, bonus dan insentif lain seperti kenaikan gaji dan faedah fleksibel, sebelum ini menjadi faktor utama membantu organisasi mengekalkan pekerja tetapi trend semakin berubah.

The Edge memetik Pengurus Randstad Malaysia, Ryan Carroll sebagai mengatakan, rakyat mula meletakkan nilai lebih besar terhadap apa yang sebelum ini dianggap sebagai faktor “lembut”.

“Keseimbangan kerja dan hidup faktor ke-2 terpenting dalam jenama majikan pada 2017, iaitu peningkatan sebanyak 2 tangga daripada 2016.

“Majikan perlu memahami apa yang menyumbang kepada tenaga kerja yang mahu terlibat dan produktif untuk menarik bakat dan mengekalkan pekerja,” kata Carroll.

Randstad mengkhusus kepada industri perkhidmatan sumber manusia dan penyelesaian dalam bidang kerja fleksibel dan perkhidmatan sumber manusia.

Lebih 700 profesional mengambil bahagian dalam tinjauan diadakan pada Januari 2018.

=EZY=