ANKARA 31 MAC: Turki menjadi negara pertama mengecam tindakan Israel menggunakan kekerasan menangani demonstrasi puluhan ribu penduduk Palestin di sempadan Gaza-Israel yang sudah mengorbankan 12 orang manakala lebih 500 lagi cedera.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menggunakan kekerasan yang tidak sewajarnya terhadap penduduk Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Gaza,” kata kenyataan Kementerian Luar Turki.
Dianggarkan lebih 20,000 penduduk Palestin menyertai demonstrasi yang dirancang selama enam minggu yang menurut Hamas (pentadbir Gaza) secara aman. Tentera Israel menganggarkan bantahan disertai 30,000 orang.
Majoriti mangsa termasuk seorang remaja 16 tahun maut ditembak tentera Israel manakala mangsa pertama maut terkena bedilan kereta kebal ketika sedang bertani.
Tentera Israel mendakwa penunjuk perasaan melempar batu dan bom api ke arah tentera namun, tiada laporan kecederaan atau kematian di pihak rejim Zionis.
Turki yang menyatakan kebimbangan dengan jumlah korban, mendesak Israel menghentikan tindakan keras kerana boleh menyebabkan keadaan lebuh tegang.
Kerajaan Turki yang paling lantang mengkritik kekejaman Israel di Gaza serta Tebing Barat, mencapai persetujuan pada 2016 menamatkan krisis diplomatik selepas komando Israel membunuh 10 aktivis Turki dalam kapal bantuan yang mahu memecahkan sekatan terhadap Gaza.
SUMBER: AFP/Reuters