Categories
SELANGOR

20,000 jayakan Mega Gathering 125z 3.0

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 APR: Mega Gathering 125z 3.0 di Tapak Ekspo Agro Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, pada Sabtu lalu, berlangsung jaya dengan kira-kira 20,000 motosikal pelbagai jenis hadir ke program berkenaan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, himpunan anjuran Kerajaan Negeri bersama Pemadam Selangor itu berjalan lancar dengan semua pihak terutama peserta memberi kerjasama menjayakannya.

“Himpunan kali ketiga ini bukti aktiviti permotoran tidak semestinya berakhir dengan gejala negatif jika dilaksanakan dengan betul.

“Pemadam Selangor selaku penganjur utama yakin usaha berterusan mendidik masyarakat perlu tanpa memilih golongan sasar,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Pengerusi Pemadam Selangor berkata, pihaknya merancang menganjurkan program sama tahun hadapan.

“Tahniah kepada semua yang memilih untuk berhimpun secara sihat dan memilih gaya hidup tanpa dadah.

“Jumpa lagi Mega Gathering 4.0 tahun hadapan,” katanya.

Mega Gathering 125z 3.0 dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dengan kerjasama Pemadam Selangor serta dibantu Majlis Perbandaran Sepang, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Penggerak Belia Tempatan Daerah Sepang.

Ia diadakan sebagai tanda sokongan dan menolak penyalahgunaan dadah serta meraikan ulang tahun
ke-20 motosikal Yamaha 125z.