Categories
SELANGOR

20,000 jayakan Mega Gathering 125z 3.0

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 APR: Mega Gathering 125z 3.0 di Tapak Ekspo Agro Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, pada Sabtu lalu, berlangsung jaya dengan kira-kira 20,000 motosikal pelbagai jenis hadir ke program berkenaan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, himpunan anjuran Kerajaan Negeri bersama Pemadam Selangor itu berjalan lancar dengan semua pihak terutama peserta memberi kerjasama menjayakannya.

“Himpunan kali ketiga ini bukti aktiviti permotoran tidak semestinya berakhir dengan gejala negatif jika dilaksanakan dengan betul.

“Pemadam Selangor selaku penganjur utama yakin usaha berterusan mendidik masyarakat perlu tanpa memilih golongan sasar,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Pengerusi Pemadam Selangor berkata, pihaknya merancang menganjurkan program sama tahun hadapan.

“Tahniah kepada semua yang memilih untuk berhimpun secara sihat dan memilih gaya hidup tanpa dadah.

“Jumpa lagi Mega Gathering 4.0 tahun hadapan,” katanya.

Mega Gathering 125z 3.0 dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dengan kerjasama Pemadam Selangor serta dibantu Majlis Perbandaran Sepang, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Penggerak Belia Tempatan Daerah Sepang.

Ia diadakan sebagai tanda sokongan dan menolak penyalahgunaan dadah serta meraikan ulang tahun
ke-20 motosikal Yamaha 125z.

Categories
SELANGOR

Mega Gathering 125z 3.0 sasar penyertaan 30,000 motosikal

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 MAC: Mega Gathering 125z 3.0 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, esok, mensasarkan penyertaan sehingga 30,000 motosikal pelbagai jenis dengan minima 5,000 Yamaha 125z.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, seperti dua edisi terdahulu, penganjuran program itu sebagai tanda sokongan dan menolak penyalahgunaan dadah.

“Ini juga sebagai meraikan ulangtahun ke 20 motosikal Yamaha 125z yang sinonim dengan jiwa anak muda yang gemarkan motosikal.

“Sekiranya berjaya mencapai sasaran maka program ini akan direkodkan dalam Malaysia Book of Record sebagai acara yang mengumpulkan motosikal jenis Yamaha 125z terbesar,” katanya dalam kenyataan media.

Mega Gathering 125z 3.0 dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dengan kerjasama Pemadam Selangor serta dibantu Majlis Perbandaran Sepang, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Penggerak Belia Tempatan Daerah Sepang.

Amirudin yang juga Pengerusi Pemadam Selangor berkata, segala aspek diambil kira bagi penganjuran kali ini dengan lokasi jauh dari kediaman akan lebih menjamin keselesaan sekitar dan memberi ruang kepada penganjur untuk menjalankan program dengan lancar.

Bagaimanapun, katanya, semua peserta diingatkan mengutamakan keselamatan dalam perjalanan hadir dan pulang ke program berkenaan.

“Sukan serta aktiviti permotoran tidak dapat dinafikan adalah salah satu kegiatan masa lapang utama membabitkan generasi muda tanpa mengira latar belakang dan kemampuan ekonomi.

“Mereka bergerak dalam kumpulan kecil juga besar dan pastinya kegiatan seumpama ini mampu diresapi pengaruh negatif seperti penyalahgunaan dadah serius sekiranya tidak didekati dan diberi kesedaran tentang bahaya dadah.

“Marilah meriahkan Mega Gathering 125z 3.0 sebagai sokongan program pendidikan bagi pencegahan dadah dijalankan Pemadam Selangor,” katanya.