OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 27 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) daripada menjadi pemantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai tidak menghormati prinsip hak asasi manusia.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa SPR tidak mengiktiraf penubuhan badan yang dibentuk Parlimen Malaysia.
“Saya amat kesal dengan tindakan SPR menghalang SUHAKAM daripada menjadi pemantau pada PRU14 nanti.
“Ini kerana, SUHAKAM adalah badan yang dibentuk sendiri oleh Parlimen Malaysia dan ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta 597).
“Justeru, ia harus diberi mandat dan kuasa untuk memupuk serta mempertahankan hak asasi manusia di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap kenyataan SUHAKAM yang dikhabarkan gagal mendapat pertauliahan daripada SPR untuk menjadi pemantau pada PRU14.
Sementara itu, Azizah mendesak SPR memberi lampu hijau kepada SUHAKAM untuk bertindak sebagai pemantau dan masuk ke pusat mengundi sepanjang PRU berlangsung 9 Mei nanti.
“Saya percaya langkah ini akan meyakinkan warga Malaysia dan masyarakat dunia bahawa PRU14 dijalankan dengan bebas, bersih dan adil,” katanya.