OLEH AFIX REDZUAN
GOMBAK, 26 APR: KEADILAN kawasan Gombak Setia melancarkan ‘Program Relawan Gombak Kita Setia’ di Dataran Greenwood, semalam.
Penubuhan program itu bertujuan mendekati lebih ramai masyarakat dan menjelaskan tentang dasar kepimpinan serta program diamalkan Kerajaan Negeri.
Calon N17 Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, penubuhan Relawan Gombak Kita Setia susulan pertambahan pengundi yang kini 55,000 berbanding 44,000 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Pertambahan ini disebabkan kebanyakkannya pengundi kali pertama atau generasi muda yang sememangnya bersemangat membuat pilihan kali pertama.
“Sebab itu kita ilhamkan Relawan Anak Muda bagi menggembleng kekekuatan anak muda, menyampaikan mesej dan membawa penerangan Kerajaan Negeri kepada setiap kampung tradisi dan taman perumahan di Gombak Setia ini,” katanya.
Katanya, dengan 500 anak muda yang sudah berdaftar sebagai relawan beliau percaya kumpulan ini mampu menyampaikan mesej jelas kepada rakyat.
Perasmian program disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi P98 Parlimen Gombak dengan meletakkan pelekat Relawan Gombak Kita Setia di motosikal selain menyerahkan Vest dan bendera KEADILAN.
Sehingga malam tadi hampir sembilan bilik gerakan Relawan Gombak Kita Setia sudah dibuka.
Hadir sama, pesara tentera, Nasri Mat Jusoh, 56 yang melakukan misi berjalan kaki sejauh 284 kilometer dari Kuantan hingga ke Putrajaya sebagai simbolik meminta masyarakat mengubah kerajaan sedia ada pada PRU-14.
“Tujuan saya berjalan sejauh 284 kilometer dari Kuantan ke Putrajaya adalah untuk memberitahu kepada Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat perlu bangkit dan memilih yang benar,” katanya.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi lagenda, Ito Blues Gang yang menyampaikan lagu ‘Gombak Kita Setia’.