OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 16 APR: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan pengamal media supaya melaporkan berita secara telus, tanpa memutarbelitkan fakta.
Beliau berkata, pengamal media khususnya wartawan perlu mendapatkan fakta dan pemahaman sebenar, bagi mendapatkan gambaran sebenar terhadap pelaksanaan dasar di peringkat Kerajaan Negeri,
“Saya ingin memberi penjelasan termasuklah kepada editor , supaya mereka faham termasuklah portal berita MalaysiaKini, bagaimana untuk melaporkan dasar-dasar yang dilaksanakan Kerajaan Selangor.
“Dasar dan bantuan kewangan yang dilakukan ini dibuat dengan perancangan rapi dan bukan dibuat untuk memancing undi pilihan raya,” kata Dato’ Menteri Besar itu.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk laporan portal Malaysia Kini yang mengaitkan program turun padang dan penyerahan bantuan Kerajaan Selangor di Gombak, baru-baru ini sebagai gula-gula piliha nraya.
Dalam laporan berkenaan, terdapat kesalahan jumlah sebenar nilai kewangan dan bantuan yang diserahkan Kerajaan Selangor bagi pembangunan Parlimen Gombak dan Ampang.
Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, laporan bertajuk “Cash, laptops, iPads – Azmin doles out over RM2m worth goodies” itu adalah kesalahan serius dan bersifat andaian kurang tepat.
Shao Loong berkata, antara kenyataan mengelirukan adalah sebutan kononnya ‘cash’ diagihkan memberi gambaran bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata, sedangkan ia sangat tidak benar.
“Tiada tunai diberi dalam program itu tetapi hanya cek diserahkan dan ia sesuai untuk program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul.
“Selain itu, kenyataan bahawa Mohamed Azmin mengagihkan iPad kepada penerima yang layak sama sekali tidak benar tetapi ia adalah gajet tablet Samsung mampu milik,” katanya dalam kenyataan.
=EZY=