Categories
SASTERA

Belum Tamat

Oleh Regina Ibrahim

Terjaga mendengar laungan azan subuh, bagaikan robot bingkas bangun. Suaminya syif malam, dia terlelap tidak sedar. Entah berapa jam agaknya tidur? Mengintai anak anak tidur di dua bilik kecil. Otak seraya berfikir tentang sewa RM250, sudah dibayar atau belum? Tuan rumah lenggok perli bahasanya jengkel!

Berwuduk, gegas kembali untuk dua rakaat diiringi permintaan yang mudah. “Murahkanlah rezeki kami sekeluarga ya Allah, lindungilah dan permudahkanlah jalan hidup kami ya Tuhan ya Rahman”. Doa dalam bahasa apapun tidak apa, Dia Maha Mendengar.

Begitulah saban hari, nasi lemak buah…. tinggal emak tinggallah saudara demi kekasih hamba turutkan. Telanlah segalanya.

“Aisyah, gerak adik-adik semua, cepat siap… sembahyang, matahari tak naik lagi…,” dijeritnya kuat agar didengari, tangan melipat telekung.

Di depan cermin. Begini agaknya segala proses perempuan yang dikatakan perlahan-lahan dimamah usia. Bercinta, beranak, beranak lagi dan kerja rumah tidak pernah habis.

“Allahu… sempat lagi aku mengelamun,” kaki bingkas ke dapur.

Nasi lemak harus ditanak. Dapur dua sumbu, satu goreng mi satu goreng bihun, duit gas kena ada. Meja jualan depan rumah harus dibuka pukul tujuh pagi. Lepaslah duit belanja sekolah anak. Tuan rumah tersengih-sengih minta tambah RM30, katanya meniaga di mana-mana pun ada cukai.

Pilihan sudah dibuat. Laluilah elok-elok.

Sering juga diasak rasa bersalah bila terpaksa menolak permintaan anak-anak. Mana mereka faham ekonomi rumah tangga. Nasib baik Aisyah sudah mampu menasihati adik-adiknya. Jika tidak, jiwanya  akan bertambah sebak.

“Semua kawan-kawan Amie pakai, ibu belilah yang murah besday Amie nanti,” permintaan telefon bimbit yang Rahmah buat tuli.

“Kita orang susah. Tuhan bagi makan, tempat berlindung sudah kira, Alhamdulillah. Ada rezeki kita makan sedap-sedap, nanti besar dah kerja, masa tu makanlah apa yang korang nak makan.”

Menghitung usia anak samalah seperti menghitung, ‘sudah berapa lama aku hidup susah dengan abang Razak?’ Fikiran cepat-cepat dimatikan, rasa berdosa!

Aisyah pada usia 10 tahun sudah pandai mengupas bawang. Nanti bolehlah ganti kalau sakit demam. Sedih, pada zaman anak  perempuan sudah setara dengan lelaki, Aisyah terpaksa turun dapur. Terakhir dia mengamuk, apabila diminta RM16 mahu beli seluar sukan baharu di koperasi sekolah. RM16 hendak dikorek mana Aisyah?

Pulang dari menggunting kangkung, dia singgah sebentar melihat Kak Zah bersantai.

“Kalau ada baju baju sekolah lama, bagilah kat saya, seluar sukan pun takpa”.

Dua beg plastik berisi pakaian diserahkan. Susah buat cara susah.

Rahmah mempercepatkan langkah ke dapur, sat1 jam untuk siap semua, terhenti bila melihat Aisyah dari belakang, liuk tubuhnya sama seperti dirinya. Rahmah bangga, tersenyum

Aisyah tangkas, menanak, dapur dua sumbu menyala, mulutnya menjerit nama adik-adik. Di bilik mandi kedengaran bunyi air, bagaikan orang mandi kerbau.

Cekap sungguh budak ni…

“Kacau mi, kacau rata rata nanti telur boleh hangit,” arahan diberi.

Tidak menurut, Aisyah bagaikan tuli, menguruskan bekas ikan bilis dan kacang goreng. Berpatah balik ke dapur dua sumbu, dikecilkan api, kemudian menggembur nasi pula.

“Kacau mi goreng tu Aisyah… hangit nanti,”untuk kali ke dua, arahannya tidak dihiraukan.

Azmi dan Fairuz siap berpakaian sekolah duduk di meja makan

“Takkan singgit jer kak?” Azmi bersuara.

“Ait? Kau ingat kita orang kaya? Nak RM5 macam kengkawan kau?”

Suasana sepi seketika. Rahmah perhatikan wajah anak-anaknya

“Akak kalau dorang datang ambik kita semua macam mana?”

“Lambat lagi… Tok Penghulu datang kelmarin…  kejap akak nak check baby,” Aisyah meluru ke bilik tidur.

“Abang, kalau dorang ambik, dorang letak kita satu rumah jugakah?” naif bunyi si Fairuz.

“Entah,” jawab Azmi datar.

Rahmah terlopong.

Aisyah kembali mendukung bayi mengantuk. Tangkas dicapainya botol susu ketot dengan sebelah tangan, sebelah tangan diumpil tin susu.

“Nah, kau pegang Zarah kejap, nak tuang air panas ni,” bayi diletakkan ke pangkuan Azmi. Azmi mengacah-acah si Zarah, terkekek-kekek si bayi

Rahmah berkerut dahi, Aisyah menggoncang botol dan menggunakan belakang tangannya mengukur suhu susu panas. Bayi siapa? Buat jahat dengan siapa?

“Seronok akak takyah gi sekolah,” si Fairuz bersuara.

“Apa yang seronok? Selesai semua akak sambung sekolah, tingkatan empat tak apa… Apa-apapun janji kita empat orang tetap bersama, duit rumah tok penghulu kata biar dia uruskan, buat masa ni akak ambik alih tugas mak, boleh punya, korang jangan buat hal, kita bukan yatim, kita yatim piatu,” panjang syarahan Aisyah.

Rahmah bertambah hairan.

Diam seketika. Teh o dihirup sambil menerima hakikat.

“Dah cepat sikit!  Azmi kau hantar Fairuz sampai depan sekolah, balik tolong kutip kangkung, kalau takda, korang cari di sebelah rumah Mak Long Nab, tengok dulu hijau atau kuning, dah ajarkan tengok kangkung yang disembur racun?” Mereka berempat beriringan menuju muka pintu, bayi didukung Aisyah yang kelihatan seperti ibu muda.

Kenapa Aisyah ambil alih?

Kenapa Rahmah tidak wujud dalam senario harian ini? Terjelepuk di sudut rumah, meraung bila semuanya berputar, terkenangkan rasa debar cemas bila suaminya hilang nyawa kemalangan di kilang, gerodak pedih bayi lapan bulan sepuluh hari bagaikan mahu keluar dan dirinya menghembuskan nafas akhir sewaktu melahirkan Zaharah.

Dia menangis semahu-mahunya, terlalu banyak lagi tugasan yang belum tamat.