OLEH HAZIQ ISMAIL
PETALING JAYA, 17 APR: Empat calon anak muda Pakatan Harapan (PAKATAN) bersedia membawa suara anak muda ke peringkat lebih tinggi sekiranya berjaya memenangi kawasan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Calon Parlimen Paya Besar (Pahang), Asyraf Mustaqim Badrul Munir, berkata kuasa anak muda penting membina Malaysia yang pro rakyat.
“Generasi muda di Malaysia sedang berhadapan kebejatan luar biasa akibat polisi pentadbiran bermasalah oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Anak muda menanggung beban ekonomi menyebabkan kualiti hidup merosot walaupun menpunyai taraf pendidikan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Calon Pemuda PRU 14, di Ibu Pejabat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) di sini, hari ini.
Sementara, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor (Kelantan) Hazmi Hassan pula berpandangan, penglibatan anak muda pada pilihan raya kali ini lebih ramai berbanding PRU-13.
“Dengan adanya aku janji ini saya berharap anak muda terus melibatkan diri dalam politik.
“Saya bercakap tentang perubahan tetapi semasa pilihan raya jika tidak berkerjasama, kita akan terus dibawah pimpinan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Bagi Young Syefura Othman yang bakal bertanding di DUN Ketari (Pahang) pula berharap kemenangan besar bakal berpihak kepada PAKATAN kerana sekarang adalah masa terbaik untuk golongan muda melakukan perubahan.
Keempat-empat calon anak muda ini sebelum itu menandatangani Aku Janji Deklarsi Bersama Anak Muda sebagai tanda sokongan kepada Deklarsi Kongres Anak Muda Malaysia 2017.