OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 27 APR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas mengambil tindakan kepada pihak yang menggunakan peralatan seperti dron dan paraglider ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal berlangsung esok.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, larangan menggunakan alatan tersebut setelah mengambil kira faktor keselamatan ketika hari penamaan calon berlangsung.
“Penggunaan paraglider, dron adalah salah (pada hari penamaan calon). Pasukan Gerakan Udara (PGU) bertanggungjawab membuat kawalan dan memberi keutamaan terhadap aspek penggunaan dron dan sebagainya.”
“Ini (penggunaan paraglider dan dron) adalah di bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia. Sekiranya mahu menggunakan dron dan paraglider perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan,” katanya lapor Bernama.
Sementara itu, Zulkifli berkata, pegawai dan anggota polis di semua negeri yang ditugaskan pada hari penamaan calon sudah bersiap sedia memastikan proses berjalan dengan teratur serta lancar.
“Setakat ini, saya tidak nampak ada sebarang masalah dan harap semua terlibat ikut nasihat polis termasuk ketua polis negeri serta daerah yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati tatasusila dan mengikut peraturan ditetapkan di bawah peraturan serta undang-undang pilihan raya antaranya calon perlu memohon permit terlebih dahulu sebelum mengadakan ceramah.
“Saya percaya semua ketua polis daerah sudah memberikan penerangan mengenai hal ini (permohonan permit) dan di mana boleh mendapatkan borang untuk mohon permit.”
“Kita perlu laksanakan kempen secara tertib supaya tidak menggugat ketenteraman awam dan pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, 9 Mei nanti,” katanya.