OLEH SABIRAH AZIZ
SUBANG JAYA, 6 APR: Kursus ‘Neuro-Linguistic Programming’ (NLP) yang julung kali dianjurkan Hijrah Selangor (HIJRAH) ternyata memberi manfaat kepada 44 peserta dalam kalangan usahawan baru.
Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Mansor Othman berkata, kursus tiga hari bermula 4 hingga 6 April itu memberikan perkongsian cukup baik dan menarik sebagai persediaan peserta menhadapai cabaran dalam perniagaan di masa hadapan.
“Program dibimbing di bawah Smart Excel Consultant ini, menawarkan pendekatan melalui ‘neuro-linguistic programming’ (NLP), iaitu cara pendekatan dari segi berkomunikasi, pembangunan personal diri dan psikoterapi.
“Kebanyakan peserta juga terdiri daripada mereka yang tiada pengalaman atau ilmu dalam bidang ini. Saya berharap peserta dapat menggunakannya sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kursus NLP (Mentoring) Syarikat Peneraju dan Usahawan HIJRAH dengan kerjasama Kumpulan Perangsang Selangor di Hotel Summit, USJ hari ini.
Pada masa sama, Mansor berkata, kursus itu mengutamakan peserta yang belum lagi memulakan perniagaan namun mempunyai idea atau produk yang ingin dijual dan dipromosikan.
“Kami mensasarkan mahasiswa, ibu tunggal, belia dan golongan berpendapatan rendah untuk menyertai program ini supaya tampil ke hadapan.
“Ia sekali gus dapat memberi galakan kepada mereka untuk sama-sama diberi peluang bagi meningkatkan kemajuan diri,” katanya sambil menambah terdapat banyak kesan positif diterima daripada peserta HIJRAH sendiri.
Mansor berkata, antara perubahan berkenaan adalah ramai peserta yang berjaya dan keluar dari kawasan mereka serta dapat memasarkan produk luar dari kawasan Selangor dan pasaran luar.