OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 5 APR: Kerajaan baru atau ‘in-waiting government’ daripada Pakatan Harapan (PAKATAN) yang bakal memerintah Malaysia selepas PRU-14 diharap memberi respon dan penyelesaian isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata sekumpulan Mahasiswa Pakatan Harapan (Mahasiswa PAKATAN).
Exco Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PBM), Abdul Hannaan Kahry berkata, pihaknya menaruh harapan tinggi terhadap PAKATAN untuk memberi maklum balas tentang permasalah mahasiswa dan graduasi.
“Anak muda adalah harapan masa depan malaysia, jika tidak diberi bantuan dan perhatian sewajarnya, bagaimana kami mampu meneruskan legasi kepimpinan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Mahasiswa Pakatan Harapan di Galeri PPBM HQ, Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.
Hannaan berkata, baru-baru ini dalam manifesto PAKATAN menyentuh isu PTPTN yang dilihat bersesuaian untuk lepasan graduan masa kini.
“Dalam manifesto itu menyebut pembayaran balik PTPTN hanya berlaku apabila seseorang itu mencapai gaji RM4,000.
“Nilai ini dilihat bersesuaian dengan survival graduan untuk mengatasi kos sara hidup dan pada masa sama mampu membuat bayaran balik hutang PTPTN,” katanya.
Namun, isu berkenaan dengan graduan universiti tidak dipandang oleh kerajaan hari ini.
Hannaan turut mendakwa kerajaan hari ini tidak adil dalam pentadbiran apabila Tan Sri Isa Samad masih memegang jawatan Pemangku Pengerusi SPAD walau terlibat dalam pemindahan hak milik tanah FELDA yang bernilai ratusan juta, sedangkan anak muda sudah dikenakan tindakan ‘blacklist’.
“Sedangkan kami anak muda baru nak kenal dunia, dikenakan tindakan yang mungkin membuatkan kami gagal meneruskan survival kerana tersepit dengan tekanan daripada kerajaan.
“Oleh itu, kami sangat berharap ‘in-waiting goverment’ daripada PAKATAN memberi respon permasalahan kami,” katanya.